Dong Zong tak ikut aspirasi negara: Tokoh bahasa

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 11 Rejab 1441H, Jumaat – Tokoh bahasa, Prof Datuk Dr Awang Sariyan menyifatkan usaha pertubuhan radikal Cina, Dong Jiao Zong (Dong Zong) menjuarai isu pendidikan Cina secara berlebihan sebagai tidak memenuhi aspirasi negara.

Beliau yang juga Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia berkata, aspirasi negara yang dimaksudkan adalah meletakkan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama sistem pendidikan negara.

“….usaha mengangkatnya (bahasa Mandarin) menjadikan ia seolah-olah bahasa negara, sedangkan kita telah mempunyai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, iaitu bahasa Melayu.

“Hujah bahawa oleh sebab bahasa Mandarin akan menjadi bahasa utama dunia juga tidak boleh dijadikan asas untuk meletakkannya sebagai bahasa utama di negara ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan beberapa pemimpin Dong Zong yang bertegas untuk terus menjuarai isu pendidikan Cina, walaupun pemerintahan negara tidak lagi ditadbir Pakatan Harapan (PH).

Memetik laporan akhbar berbahasa Cina, Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim berkata, pertubuhan itu akan terus memperjuang beberapa isu berkaitan pendidikan Cina sebagai mana ketika pemerintahan PH sebelum ini, dan turut mahukan kerajaan baharu bertindak adil terhadap mereka.

Mengulas perkara itu, Dr Awang berkata, rakyat boleh digalakkan untuk mempelajari dan menguasai bahasa Mandarin, tetapi bukan mengangkatnya sebagai bahasa utama negara.

“Jika hujah itu dijadikan sandaran, adakah seluruh negara sedunia juga patut mengangkat bahasa Mandarin sebagai bahasa utama di negara-negara seluruh dunia?

“Ini tidak mungkin berlaku kerana setiap negara mempunyai Bahasa kebangsaan masing-masing,” katanya.

Dong Zong sebelum ini bermati-matian menentang polisi Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan tulisan khat jawi di sekolah vernakular untuk pelajar Tahun 4.

Bukan hanya menentang secara terbuka, Dong Zong juga mengumpulkan NGO Cina dan India serta menghasut mereka untuk menolak usaha itu.

Kerajaan akhirnya bertolak ansur dengan melonggarkan syarat pelaksanaannya sehingga menjadi pilihan (optional) dan menjadikan sukatan kepada tiga muka surat sahaja.

Langkah itu juga masih ditentang Dong Zong, dengan mencetuskan sentimen agama, menuduh kononnya tulisan jawi dan khat sebagai usaha Islamisasi masyarakat bukan Islam, dan menggerakkan petisyen membantah perkara itu.

Bukan hanya isu tulisan jawi, Dong Zong juga antara yang lantang menuntut Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf sebagai tiket masuk universiti awam (IPTA), walaupun sistemnya bercanggah dengan dasar pendidikan negara.