UEC bercanggah Dasar Pendidikan Kebangsaan

1. IKATAN Muslimin Malaysia (ISMA) Melaka menggesa Kerajaan Negeri Melaka menarik balik pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai kelayakan memasuki perkhidmatan awam di negeri ini, yang dibuat ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

2. UEC adalah satu silibus sekolah persendirian Cina, yang mana sukatan pelajarannya diambil dari Taiwan.Ia menjadi salah satu isu hangat dan desakan daripada Persatuan Lembaga Pengelola Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) agar ianya diiktiraf dalam sistem pendidikan negara.

3. Kementerian Pendidikan menegaskan menolak untuk mengiktiraf UEC kerana tidak selaras dengan kehendak Dasar Pendidikan Kebangsaan seperti yang diperuntukkan mengikut Akta Pendidikan 1996.

UEC tidak mematuhi kehendak Kementerian Pendidikan seperti silibus mata pelajaran asas bernegara terutama Sejarah dan Bahasa Melayu seperti diambil dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), standard UEC bagi mata pelajaran ini terlalu rendah.

UEC dikendalikan dalam bahasa lain dan tidak mengikuti silibus Kementerian Pendidikan. Ini jelas berada di luar sistem pendidikan negara.

4. Ini soal pembinaan negara, pengiktirafan UEC adalah bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang terkandung dalam Akta Pendidikan 1996, yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama harus diyakini rakyat dalam memajukan negara bukannya direndahkan.

5. Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Melaka di bawah pemerintahan Perikatan Nasional (PN) mesti mengkaji semula dan mengambil kira perlembagaan dan undang-undang serta kepentingan kedaulatan negara dalam membuat keputusan berkaitan UEC.

Jangan sesekali tunduk kepada tuntutan suara pendidikan Cina, termasuk lidah MCA.

Ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH), DAP dan MCA bekerjasama dengan pertubuhan extremis Dong Jiao Zong menjadi hero dalam memperjuangkan sijil berkenaan.

6. UEC hanya akan memberi kesan buruk terhadap perpaduan serta mencabar kedaulatan negara.

Ini sudah pasti membuatkan keharmonian negara terjejas, jurang perbezaan di kalangan kaum akan semakin besar kerana perbezaan silibus dan bahasa.

Juga satu kerugian kepada kaum Cina yang telah mengikuti sistem pendidikan sedia ada.

7. Kerana itulah UEC tergantung dan tidak diiktiraf sehingga ke hari ini.

Jika UEC diiktiraf, ia umpama satu bentuk penderhakaan dan penghinaan kepada rakyat.

Ustaz Ir. Hj. Mohd Khoushaini Hj. Mohd Naim
Ketua Perhubungan Negeri (KPN) ISMA Melaka

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).