BANGI, 18 Rejab 1441H, Jumaat – Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon seolah-olah tidak menghargai kepercayaan diberi apabila didakwa akan bekerjasama dengan pertubuhan radikal, Dong Zong dan Jiao Zong dalam isu pendidikan Cina.
Ketua Media Muafakat, Haji Rashidi Haris berkata, kenyataan Hang Soon meneruskan agenda remeh satu kaum sahaja yang boleh menyebabkan ketidakharmonian, jelas tidak menghormati usaha perdana menteri untuk membina kesatuan mantap dengan matlamat memajukan negara.
“Mengejutkan apabila tidak sampai 24 jam Timbalan Presiden MCA, Dr Mah Hang Soon, mengangkat sumpah sebagai Timbalan Menteri Pendidikan I, beliau telah memperlihatkan kegopohannya dengan membuat kenyataan untuk bekerjasama dengan pertubuhan kiasu cauvanis, Dong Zong dan Jiao Zong.
“Beliau gopoh dalam menjawab soalan apabila ditanya apakah tindakan yang akan beliau lakukan dalam isu pendidikan Cina yang berkaitan dengan isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi mendapatkan pengiktirafan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Hang Soon yang juga Timbalan Presiden parti perkauman MCA dilaporkan berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan gabungan itu untuk menggerakkan reformasi pendidikan.
“Saya akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan, tapi yang lebih penting ialah menyatukan semua pihak antaranya Dong Zong dan Jiao Zong, pendidik dari semua pihak.
“… untuk bersama-sama saya bekerja keras, membantu saya menggerakkan reformasi pendidikan,” katanya.
Haji Rashidi mempersoalkan sama ada Hang Soon mempunyai agenda sendiri dengan tidak ambil peduli risiko mengulangi kesilapan kerajaan Pakatan Harapan.
“Atau apakah kenyataannya itu sebagai mukadimah kepada perancangan besar golongan kiasu cauvanis, atau sememangnya beliau adalah kuda tunggangan Dong Zong?” soal beliau.