SARAVANAN TAK FAHAM PERLEMBAGAAN NEGARA: ELOK LETAK JAWATAN

QIAM menyokong sepenuhnya Naib Pengerusi PEMBELA Izzat Johari yang menyebut
“Saravanan tak guna Bahasa Melayu sepenuhnya dalam poster ucapan ulang-tahun ke 74 RTM sebagai satu penghinaan kepada Bahasa Melayu”. (Ismaweb 2/4/20). Tokoh Akademik Prof.

Datuk Dr. Teo Kok Seong juga menyebut “tindakan tersebut bertentangan dengan Perkara 152 Perlembagaan, yang harus diakui”. Pemimpin MIC janganlah ulangi perangai DAP sebelum ini yang menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil dalam membuat kenyataan rasmi (Ismaweb 4/4/20). Mereka seolah-olah tidak peka tentang perkara sensitif apabila menggunakan Bahasa Tamil sehingga mendapat kecaman hebat pelbagai pihak.

2. QIAM menganggap perbuatan Saravanan ini sebagai biadap. Ini berlaku disebabkan sifat keras kepala tidak mahu mengambil pengajaran malah mengulangi tabiat buruk pemimpin DAP sebelum ini. Yang hairannya, apakah Timbalan Menteri, KSU dan Pegawai Kanan Kementerian pun turut buta tentang perkara ini? Kalau Menteri tak faham Perlembagaan,lebih baik letak jawatan.

3. QIAM juga kecewa dengan sikap Ketua Pemuda MIC R Thinalan yang mempertahankan tindakan Saravanan dengan menganggap isu Bahasa Melayu adalah “Isu Remeh”. Ini tidak boleh diterima akal sama sekali dan wajib dikecam. Tindakan biadap mereka sama sekali tidak perlu dipertahankan atas apa jua alasan kerana secara jelas telah menghina Perkara 152 Perlembagaan. Mereka perlu sedar bahawa semua bangsa mesti menghayati dan menghormati identiti negara ini iaitu Islam, Bangsa Melayu dan Raja-Raja Melayu.

4. QIAM sangat bimbang terhadap tahap penguasaan Bahasa Melayu di kalangan kaum Bukan Bumiputra yang rata-rata sangat lemah sehinggakan perlu dibuat penterjemahan ke bahasa asing. Buktinya banyak kes di mahkamah perlu diterjemah ke Bahasa Tamil atau Bahasa Mandarin. Prof. Datuk Dr Teo Kok Seong turut mempunyai pandangan dan kegelisahan yang sama “walaupun setelah 63 tahun menyambut kemerdekaan mengapa perlu ada terjemahan dalam bahasa lain?

Apa yang berlaku dalam penguasaan Bahasa Kebangsaan sehinggakan rakyat jelata masih tidak mengetahui bahasa negara dengan baik yang masih memerlukan terjemahan?” Kami juga sangat meragui status kewarga-negaraan mereka yang tidak mahir berbahasa Melayu ini. QIAM dengan ini sarankan Kerajaan PN buat siasatan kesahihan kewarga-negaraan mereka ini dengan segera.

5. Justru itu perlulah sentiasa diingat bahawa jawatan Menteri adalah jawatan rasmi Kerajaan. Maka setiap urusan rasmi perlulah menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya. QIAM sependapat dengan MAUFAKAT bahawa terdapat usaha di kalangan pemimpin tertentu yang cuba menggerakkan proses normalisasi bahasa asing bagi mengganti Bahasa Melayu.

Kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Perpaduan perlulah sentiasa diperkukuhkan. Oleh yang demikian, Kerajaan PN perlulah memberi amaran keras kepada barisan pemimpinnya agar tidak mengulangi kesilapan yang serupa. Se baliknya mesti menjunjung tinggi Perkara 152 Perlembagaan.

Sekian terima kasih.

Dato’ Sirajuddin Haji Salleh
Presiden