SEREMBAN: Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) kecewa dengan tindakan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan yang menyampaikan ucapan dalam bahasa Tamil sempena Hari Pekerja seperti yang tular di media sosial.
Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan, berkata menteri seharusnya hanya berucap dalam satu bahasa sahaja iaitu bahasa Melayu yang juga bahasa kebangsaan walaupun negara kita ada pelbagai suku kaum dan etnik.
“Kami (i-Guru) memahami bahawa pekerja kita terdiri dari pelbagai kaum dan etnik, tetapi semua kaum dan etnik wajib menjunjung bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Azizee berkata, tidak sepatutnya ada lagi pekerja rakyat Malaysia yang tidak boleh bercakap memahami bahasa Melayu setelah 63 tahun negara merdeka.
Justeru, i-Guru berpandangan tiada keperluan atau alasan yang munasabah untuk menteri berkenaan menggunakan bahasa Tamil dalam acara rasmi atau tidak rasmi di jabatan atau agensi kerajaan kecuali untuk urusan peribadi yang bersifat tidak rasmi serta tidak mempunyai apa-apa logo kerajaan.
“I-Guru sedia berbincang dan bersemuka dengan menteri demi memastikan bahasa Melayu sebagai alat penyatuan kaum dan perpaduan semua bangsa,” katanya.