Penindasan Ke Atas Orang Melayu di Singapura?

NAMPAK gayanya pihak berkuasa negara yang dipanggil sebagai ‘the red dot’ oleh bekas Presiden Indonesia BJ Habibie akan mengambil tindakan tegas terhadap seorang warganya bernama Sangeetha Thanapal kerana menulis mengenai penindasan dan penganiayaan kerajaan pulau itu ke atas warganya berketurunan Melayu.

Bukan itu saja malah ramai dari rakyatnya juga turut bersama memperlekeh dan menganiaya orang orang Melayu di republik itu.

Maka itu tidak menghairankan mengapa pada satu ketika dahulu Singapura itu pernah mendakwa kononnya nasi lemak adalah juga kepunyaannya.

Ia kini bukan saja didakwa menindas orang Melayu yang tinggal di situ malah sudah menuduh kononnya orang Melayu juga adalah kaum pendatang.

Kononnya orang Melayu sebagaimana juga orang Cina dan orang India di Malaysia ini, juga bukannya berasal dari sini.

Persoalan saya mudah saja kalau Melayu itu pendatang, dari mana pula mereka berasal?

Kononnya Melayu di sini berasal dari Indonesia. Jelaslah mereka ini bukan saja amat tolol tetapi sungguh dangkal sekali.

Apakah hanya kerana hendak perlekeh dan memperkecilkan orang Melayu yang tinggal di situ, kerajaan pulau itu tergamak mendakwa orang Melayu juga sebagai pendatang!

Maka itulah kini telah keluar cerita bagaimana orang Melayu di pulau itu berterusan ditekan dan ditindas dengan begitu melampau sekali sebagai suatu kaum minoriti di situ.

Mereka juga berkata kalau orang Melayu tak suka berada di pulau itu kerana tidak tahan ditindas dan didiskriminasi secara berterusan, mereka boleh saja nyah dari republik itu dan balik ke tempat asal mereka iaitu di Malaysia.

Apakah mereka ini begitu jahil sekali hingga buat tak tahu bahawa sememangnya telah pun ada orang Melayu menginap di pulau itu sejak berzaman dahulu lagi?

Bukan semuanya Melayu yang menginap di pulau itu berasal dari Malaysia.

Apakah mereka ini begitu dangkal sekali hingga boleh pula mengatakan bahawa semua orang Melayu di pulau itu adalah berasal dari semenanjung Melayu.

Benar memang banyak orang Melayu di pulau itu berasal dari semenanjung Melayu tetapi ramai pula di antara mereka yang sememangnya sudah pun menginap atau tinggal di pulau itu sejak berzaman lagi.

Tidakkah mereka yang berada di bawah sindrom penafian ini mengetahui bahawa sememangnya telah pun ada orang Melayu menetap di pulau itu sejak berzaman dahulu lagi.

Kalau tidak mana datangnya cerita Singapura dilanggar todak?

— BebasNews

Sumber : https://bebasnews.my/?p=39839