Hari Jawi kembalikan keagungan tulisan bahasa Melayu

KUALA LUMPUR: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyifatkan Kempen Hari Jumaat Hari Jawi dapat meletakkan kembali tulisan itu pada martabatnya yang sah sebagai tulisan bahasa Melayu hampir seribu tahun lalu.

Pengerusi Lembaga Pengelolanya, Prof Datuk Dr Awang Sariyan, berkata tulisan itu sudah diterima dalam semua bidang dan urusan termasuk dengan kuasa asing hingga tiada asas kepada mana-mana pihak untuk menolak usaha pengembangannya.

Awang berkata, sebagai usaha awal untuk memasyarakatkannya, tulisan Jawi perlu digunakan untuk peragaan maklumat di tempat awam, premis perniagaan dan pejabat serta dokumen di samping tulisan Rumi.

“DBP menyokong penuh keputusan kerajaan menjadikan Jumaat sebagai Hari Jawi.

“Keputusan yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri memberi ruang untuk tulisan Jawi diletakkan pada martabatnya yang sah sebagai tulisan bahasa Melayu selama hampir seribu tahun sebelum tulisan Rumi diterima sebagai tulisan rasmi bagi bahasa kebangsaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Awang yang juga Penyandang Kursi Za’ba Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) berkata, ketika zaman Kesultanan Melayu ratusan tahun lalu, tulisan Jawi menjadi tulisan bagi semua bidang seperti agama, undang-undang, ketatanegaraan, sejarah, perubatan, persenjataan, hikayat dan sastera serta diplomasi.

Katanya, surat dan perjanjian antara kerajaan di alam Melayu dengan kuasa asing seperti Belanda, Portugal, Sepanyol serta Inggeris ditulis dengan Jawi.

“Tulisan Jawi dan bahasa Melayu diterima oleh semua bangsa, hatta semasa penjajahan Inggeris.

“Oleh itu, tiada asas untuk mana-mana pihak yang mewakili kaum tertentu untuk menolak usaha mengembangkan tulisan Jawi,” katanya.

Zulkifli dalam kenyataannya mengumumkan Kempen Hari Jumaat Hari Jawi bermula hari ini, dalam usaha mengekalkan dan memperkasakan tradisi serta budaya yang membentuk Malaysia.

Beliau berkata, perkara itu disokong penuh oleh semua Jemaah Menteri dalam mesyuarat kelmarin.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/07/709349/hari-jawi-kembalikan-keagungan-tulisan-bahasa-melayu