PAPAN tanda dan iklan menjadi sasaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) minggu yang baru berlalu ini. Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran menegaskan bahasa Melayu standard digunakan di tempat awam, terutama papan iklan.
Beliau mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) mewujudkan undang-undang kecil mewajibkan ke arah mencapai matlamat terbabit. Beliau juga mahu semua papan tanda iklan mendapat pengesahan DBP dari aspek bahasa, sebelum lesen dikeluarkan PBT.
Hasrat DBP itu disambut baik banyak pihak dan ada yang mencadangkan dewan itu diberi kuasa sebagai ‘polis bahasa’ seperti yang wujud di Perancis.
Sebenarnya Perancis tidak mempunyai polis bahasa. Ia mempunyai sebuah badan kerajaan digelar Délégation générale à la langue française et aux langues de France.
Badan ini bertindak antara lain untuk mengenal pasti istilah bahasa asing yang menyusup masuk ke dalam bahasa Perancis dan mencari istilah bahasa Perancis yang boleh menggantikannya.
Perkaya istilah baharu
Ia kemudian menghantar cadangan istilah gantian bahasa Perancis itu ke sebuah jabatan di pejabat Perdana Menteri dan jika diluluskan menjadi wajib digunakan oleh penjawat awam dalam perhubungan rasmi.
Dengan cara ini bukan hanya bahasa Perancis dimartabatkan penggunaannya, tetapi juga sentiasa diperkayakan dengan istilah baharu dalam kamusnya.
Kita berpendapat DBP juga harus bertindak sedemikian. Daripada menghabiskan masa dan tenaga kerja meneliti papan tanda dan iklan, ia harus menumpukan kepada mewujudkan gantian kepada istilah bahasa asing yang sudah banyak diserap ke dalam bahasa kita.
Istilah kewangan dan teknologi misalnya cepat dicipta dan mudah menyusup ke dalam percakapan harian.
Istilah seperti crowd funding, cloud computing dan troll sudah menjadi istilah kebiasaan mahupun jika kita berbual dalam bahasa Melayu.
Dalam konteks ini, DBP harus pantas mewujudkan istilah gantian dalam bahasa Melayu dan memuatkannya dalam laman sesawangnya agar memudahkan pengguna membuat rujukan.
Mereka-reka istilah gantian sendiri
Dengan cara ini, pengguna, termasuk pengamal media tidaklah terpaksa mereka-reka istilah gantian sendiri yang mungkin tidak tepat atau lebih buruk lagi menggunakan istilah asing dalam penulisan mereka.
Sehubungan itu, elok juga jika ada mekanisme seperti di Perancis di mana istilah gantian bahasa Melayu dikemukakan kepada pejabat Perdana Menteri untuk diluluskan dan diwajibkan pengunaannya dalam perhubungan rasmi penjawat awam.
Selain itu, DBP harus juga mempelopori usaha menterjemahkan buku asing ke dalam bahasa Melayu, agar memperkayakan lagi khazanah buku dalam bahasa kebangsaan.
Lebih-lebih lagi perkembangan terbaru di Amerika Syarikat yang mulai bulan ini membebaskan kepada ruang lingkup awam banyak hak cipta hasil penulisan yang diterbit daripada 1923 sehingga 1977.
Ini bermakna hasil tulisan penulis seperti Marcel Proust, D H Lawrence, Agatha Christie, P G Wodehouse, dan Rudyard Kipling dan lain-lain bebas diterbit dan dicetak semula oleh sesiapa sahaja, termasuk dalam apa-apa bahasa sekalipun.
Ia juga bermakna mana-mana penulis bebas mewujudkan karya baharu berdasarkan karya klasik ini tanpa risau disaman kerana melanggar hak cipta.
Jika DBP mampu mentertemahkan karya klasik berkenaan dan menerbitkannya semula dalam bahasa Melayu, sudah tentu ramai anak-anak bangsa kita yang mungkin terbatas penguasaan bahasa Inggerinya dapat manfaat daripadanya.
Usaha memartabatkan bahasa Melayu ini sebenarnya bukan jatuh kepada DBP sahaja, namun dewan itu berada dalam kedudukan istimewa untuk memastikan ia menjadi agenda semua pihak.
Penulis ialah Pengarang Kumpulan Berita Harian
https://www.bharian.com.my/kolumnis/2019/01/524852/dbp-tidak-perlu-jadi-polis-bahasa