JANGAN sesekali bermimpi untuk meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi pada peringkat ASEAN selagi bahasa itu tidak diperkasa dan dimartabatkan selayaknya di negara sendiri.
Realitinya hari ini, bahasa Melayu melalui tahap peminggiran yang agak ‘parah’ apabila ditolak dengan pelbagai cara termasuk tidak digunakan sepenuhnya dalam urusan rasmi, sistem pendidikan kebangsaan dan komunikasi harian.
Hal itu dilontarkan secara jelas oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Dr Zaharani Ahmad pada forum bertajuk Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN di Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu Ke-9 (SALPBM IX), Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, baru-baru ini.
“Kita bercakap soal menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN, sedangkan negara yang menggunakan bahasa itu sendiri tidak memperkasakannya. Justeru, bagaimana kita ingin mempengaruhi orang luar untuk menerima idea berkenaan.
“Jika ia tidak dimartabatkan di negara sendiri termasuk dalam soal penamaan tempat dan paparan awam seperti papan iklan yang lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris, orang luar tidak akan melihat identiti kita serta tentu saja tidak bersetuju untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN,” katanya.
DBP disindir sedangkan tiada kuasa
Zaharani berkata, DBP sering menerima sindiran pelbagai pihak apabila bahasa Melayu direndahkan martabatnya secara terang-terangan, bahkan ada yang melabel badan bahasa itu sebagai harimau tidak bergigi kerana tidak mempunyai kuasa untuk membanteras tindakan yang tidak menghormati bahasa kebangsaan.
“Sebagai badan yang bertanggungjawab memperkasakan bahasa Melayu, kami disindir apabila orang ramai melihat paparan awam tidak mencerminkan identiti bahasa kebangsaan.
“Sebenarnya, DBP tidak mempunyai kuasa untuk bahagian penguatkuasaan menurunkan papan tanda, sebaliknya kami cuma boleh memberi teguran dan menyediakan pelbagai perkhidmatan bagi membetulkan penggunaan bahasa.
“Justeru jika masyarakat sendiri enggan menggunakan perkhidmatan yang disediakan sebaiknya apa lagi yang boleh DBP lakukan,” katanya.
Berbicara kembali soal menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam ASEAN, Zaharani berkata, negara yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Indonesia dan Brunei Darussalam mesti bersatu untuk membolehkan desakan itu didengari.
“ASEAN kini menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi, sebolehnya kita mahu ada satu bahasa yang ditutur oleh negara ASEAN yang dipilih bagi mewakili identitinya.
Selesaikan isu dalaman dulu
“Ia satu cabaran yang besar bukan saja untuk Malaysia, bahkan semua negara ASEAN lain terutama untuk meyakinkan mereka bagi menerima dan mempelajari bahasa Melayu.
“Sehingga kita menyelesaikan isu dalaman dan memartabatkan bahasa Melayu ke tahap sepatutnya termasuk rakyat perlulah fasih, menyayangi dan menggunakannya pada semua bidang terutama urusan rasmi, barulah ia dapat membantu untuk diangkat menjadi bahasa ASEAN,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Bahasa dan Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Sanat Md Nasir, berkata pemerkasaan bahasa Melayu tidak sepatutnya dijadikan polemik, sebaliknya ia perlu berperanan sebagai alat penyatuan dalam masyarakat.
“Jika kita tidak mempertajam bahasa Melayu, ia tidak akan berfungsi dengan baik dan boleh berlaku kerapuhan dalam masyarakat.
“Dalam konteks serantau, bahasa Melayu memainkan peranan penting untuk menyatupadukan bangsa dan menonjolkan identiti kita ke peringkat lebih tinggi.
Bahasa tidak patut dipolitikkan
“Ahli bahasa sudah memainkan peranan terutama mencipta istilah baharu, kodifikasi dan tatabahasa, namun kita amat memerlukan orang politik untuk memainkan fungsinya selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan itu sendiri,” katanya.
Sanat berkata, isu bahasa tidak sepatutnya dipolitikkan, bahkan dasar pendidikan perlu diyakini sepenuhnya supaya ‘penindasan’ terhadap bahasa Melayu dapat dihentikan.
“Apa yang berlaku sekarang adalah kita membezakan dasar seperti menekankan penggunaan bahasa Melayu untuk sektor awam tetapi pada masa sama, sektor swasta bebas menggunakan bahasa Inggeris, sekali gus menghakis keyakinan rakyat terhadap prestij bahasa itu sendiri,” katanya.
Tambah Sanat, bahasa Melayu masih mampu menyerlah sehingga ke peringkat ASEAN yang boleh dilakukan secara serentak, dengan memperkasakannya pada peringkat kebangsaan dan memperkukuhkannya pada peringkat serantau dengan pelbagai inisiatif baharu.
Dalam konteks bahasa Melayu serantau, Pensyarah Universiti Prince of Songkhla, Abdonloh Khreeda-oh berkongsi hambatan yang dihadapi dalam mengangkat bahasa Melayu di Thailand akibat polisi kerajaan.
“Bahasa Melayu di Selatan Thai mula dipinggirkan apabila kerajaan Jeneral P Phibulsongkhram mengisytiharkan Dasar Penguatkuasaan Pendidikan Wajib 1921 yang mewajibkan kanak-kanak seluruh negara mempelajari ilmu pengetahuan menggunakan bahasa Thai di sekolah kebangsaan kerajaan.
“Berdasarkan perangkaan bermula tahun 1957 hingga 1972, penduduk Melayu di Selatan Thai yang dari kecil bertutur dalam bahasa Melayu didapati tidak mendapat keputusan cemerlang pada peringkat sekolah kerana tidak menguasai bahasa Thai.
“Bagaimanapun pada 2006, Institut Penyelidikan Bahasa dan Kebudayaan Asia, Universiti Mahidol bersama penyelidik tempatan menjalankan Projek Pengajaran dan Pembelajaran Dwibahasa iaitu menggunakan bahasa Thai dan Bahasa Melayu dalam pembelajaran yang kemudian diterima pakai dalam pendidikan rasmi oleh kerajaan.
“Ia sedikit sebanyak membantu penduduk untuk mahir dalam kedua-dua bahasa,” katanya dalam pembentangan bertajuk Cabaran dan Masa Depan Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN di Thailand: Satu Pemerhatian Awal.
Di Singapura pula, Pengarah Pusat Bahasa Melayu Singapura, Mohamed Noh Daipi, berkata meskipun bahasa itu berdepan dengan banyak kekangan, mereka bersedia mengangkatnya sebagai bahasa rasmi ASEAN yang mampu direalisasikan.
“Bahasa Melayu di Singapura dirayakan secara simbolik dan berkongsi tempat sebagai bahasa rasmi bersama tiga bahasa lain iaitu Inggeris, Tamil dan Mandarin.
“Orang luar mungkin mempunyai tanggapan bahasa Melayu tidak diajar pada peringkat sekolah di Singapura tetapi telahan itu tidak benar.
“Ini kerana kerana ia masih kekal sebagai bahasa kebangsaan, malah kedudukannya termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan seperti Malaysia,” katanya.