KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan tidak akan menaiktaraf Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina sebagai sekolah aliran rasmi dalam sistem pendidikan negara menyamai Sekolah Kebangsaan (SK).
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kementerian mengakui pembabitan ramai pelajar Bumiputera ke sekolah terbabit, namun secara keseluruhannya, SJKC setakat ini masih dipelopori pelajar Cina.
“Contoh dalam kunjungan saya ke Kuala Kangsar iaitu di SJKC Manong, ramai pelajarnya juga adalah dari Bumiputera. Sama juga di Parlimen Padang Terap, di kawasan saya sendiri, keadaannya sama, apatah lagi di Sabah dan Sarawak.
“Kebanyakannya (sekolah SJKC) yang mencatatkan ramai pelajar Bumiputera adalah di luar bandar, di bandar tidak. Jadi saya kira tidak mungkinlah (untuk kementerian terima SJKC dimasukkan dalam aliran rasmi),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Setiawangsa, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan dan kajian beberapa pihak yang mahu supaya SJKC dimasukkan dalam aliran rasmi persekolahan berikutan ramai pelajar Bumiputera mendapat pendidikan di sekolah terbabit.
Mengulas cadangan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang meminta supaya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mencari dana sendiri bagi membantu pembinaan infrastruktur sekolah, beliau menyatakan ia hanya cadangan saja.
Katanya, kementerian sememangnya tidak menggalakkan namun tidak menghalang jika ada PIBG yang mahu mengambil inisiatif sebegitu, namun perlu memastikan dana yang diminta tidak membebankan ibu bapa.