Tidak berapa lama lagi negara kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan. Sejak perisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, sehingga kini pancang kenegaraan tidak pernah berdiri aman tanpa gugatan.
Malah, dalam perkembangan terkini goncangan terhadap pancang itu semakin kuat apabila ‘kebebasan bersuara’ sebagai antara elemen hak asasi manusia, dijadikan landasan perlawanan oleh golongan buta sejarah atau sengaja membutakan mata untuk mengelak daripada menerima hakikat sejarah pembentukan negara.
Sebelum pergi lebih jauh, elok kita melihat semula Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu, yakni syarat dipersetujui sembilan Raja Melayu ketika menandatangani persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957.
Tujuh perkara itu mempertahankan kedudukan Raja-Raja Melayu, tanah simpanan Melayu, Rejimen Askar Melayu Diraja, kedudukan agama Islam, kedudukan bahasa Melayu dan hak istimewa orang Melayu.
Semua wasiat ini diterjemahkan dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 3(1)(2)(3) dan (5), Perkara 11, Perkara 12, Perkara 38(5), Perkara 152, Perkara 153, Perkara 181(1). Fasal ini memerlukan izin Majlis Raja-Raja Melayu untuk sebarang pindaan.
Sejarah semakin dilarutkan masa dan kertas putih semakin luntur dakwatnya. Tanpa henti pelbagai bentuk goncangan menggegarkan keabsahan Perlembagaan, terutama berkait kedudukan Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu dan Islam.
Baru-baru ini tular satu video seorang lelaki menghentam kedudukan Raja-Raja Melayu dan keistimewaan diberikan kepada agama Islam di Malaysia. Ucapan bebas yang dikatakan berlaku di Hyde Park London itu memperlihatkan kebencian sebahagian rakyat terhadap pancang kenegaraan yang jelas ada dalam perundangan.
Selain itu, dalam satu hantaran Instagram The Loud Asians timbul pula penentangan terhadap sistem pendidikan yang kononnya meminggirkan sebilangan tokoh sejarah dalam sukatan pelajaran dan sastera kebangsaan yang hanya mengiktiraf sastera berbahasa Melayu sebagai sastera kebangsaan.
Bagi pihak berkenaan, penafian terhadap sastera dalam bahasa lain bertujuan memadam pengalaman penulis bukan Melayu, sekali gus menandakan penolakan warga bukan Melayu secara keseluruhan.
Hal ini kesilapan konsepsi kerana pengiktirafan sastera dalam bahasa Melayu sebagai sastera kebangsaan bukan bertujuan membuang sastera dalam bahasa lain. Setiap orang bebas menulis dalam aliran dan bahasa pilihan mereka.
Namun, sebagai negara berdaulat dan merdeka serta mempunyai sejarah jelas, Malaysia wajar menetapkan agenda pembinaan negara bangsanya supaya peradaban terbina nanti ialah peradaban munasabah dari segi sejarah.
Satu nilai kebangsaan perlu ditegaskan kerana keracunan budaya hanya akan mengakibatkan peradaban kita rapuh dan mudah runtuh. Penerimaan budaya bersama wajar dianggap sebagai kewajipan dan wajar dihargai sebagai milik peribadi bangsa Malaysia.
Dengan cara itu alur perjalanan generasi akan datang dan pengukuhan struktur negara bangsa bakal berlangsung dengan mudah.
Di samping itu, permainan jahat pendukung politik tidak sedar diri terus memperkotak-katikkan kedudukan bahasa Melayu dalam pendidikan, bidang kehakiman dan pentadbiran.
Dalam agensi kerajaan, berlaku juga penyusupan ‘keagungan kulit putih’ dengan menggunakan bahasa Inggeris dalam surat dan mesyuarat, walaupun ada surat pekeliling daripada Ketua Setiausaha Negara mewajibkan penggunaan bahasa Melayu.
Sedangkan tali barut atau komprador dalam kalangan orang Melayu sendiri tidak segan silu menunjukkan kuasa mereka untuk menggunakan bahasa Inggeris. Inilah masalah yang sukar dihapuskan apabila bahasa Melayu dibunuh orang sendiri.
Dalam bidang pendidikan, pejuang bahasa tidak berhenti berlawan dengan pencemar kedaulatan bahasa Melayu. Satu demi satu usaha dilakukan pendukung bahasa Inggeris untuk mengesampingkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Misalnya, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dibatalkan, tetapi Program Dwibahasa (DLP) terus berjalan. Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon, menegaskan Kementerian Pendidikan akan meneruskan DLP di sekolah yang bersetuju melaksanakannya.
Ini sebenarnya usaha membenamkan status bahasa Melayu sebagai aset budaya bernilai politik dan ekonomi. Dengan pelaksanaan DLP akan wujud pemecahan darjat antara dua jenis sistem. Bahasa Melayu dan penggunanya akan terpinggir, manakala masyarakat berbahasa Inggeris diagungkan.
Banyak ketempangan dalam pelaksanaan DLP tidak didedahkan bagi memelihara kewujudannya. Bangkangan berhujah daripada pelbagai pihak pun tidak dipedulikan lagi. Akhirnya bahasa Melayu dalam sistem pendidikan akan tergusur ke jurang dan lenyap ditindih sejarah.
Dalam bidang perundangan, timbul satu isu yang tidak kurang bahayanya jika tidak ditangani mengikut Perlembagaan.
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) memfailkan satu permohonan rujukan ke Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan, dibaca bersama Perkara 4(1) dan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Persoalan ini timbul kerana selepas GPMS bersama Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) memfailkan saman bagi mengisytiharkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil sebagai bercanggah dan tidak sah di sisi Perlembagaan Persekutuan pada tahun lalu, mahkamah memberikan arahan kepada peguam yang terbabit agar menterjemahkan semua kertas kausa difailkan dalam bahasa Melayu ke bahasa Inggeris bagi kegunaan mahkamah.
Jika benar demikian, tampak bahasa Melayu sudah menjadi bahasa kedua di mahkamah. Oleh itu, tindakan GPMS ini wajar bagi mempertahankan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan yang memperuntukkan segala prosiding (selain pemberian keterangan oleh seseorang saksi) di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi atau mana-mana Mahkamah Rendah hendaklah dijalankan dalam bahasa kebangsaan.
Demikian antara beberapa contoh sukarnya kemerdekaan hendak dipertahankan dalam rohnya yang asal.
Kita akan menyambut kemerdekaan pada penghujung Ogos ini, tetapi pergelutan budaya masih terus berpencak dan tidak memperlihatkan tanda berakhir.
Penulis adalah Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)