Kementerian Pendidikan digesa jelaskan isu buka 10 SJKC baru

KUALA LUMPUR: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menggesa Kementerian Pendidikan membuat pengumuman dan penerangan rasmi berkaitan cadangan pembinaan dan pemindahan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Presidennya, Mohd Alif Anas Md Noor berkata, ini kerana, tiada sebarang pengumuman rasmi yang dibuat berhubung perkara itu sedangkan pada laporan media, dinyatakan 10 SJKC baharu akan dibina dan enam dipindahkan ke kawasan baharu.

Katanya, laporan ini ternyata mengundang reaksi tidak senang pelbagai pihak sejak dua hari lalu.

 

“Laporan itu hanya melaporkan kegembiraan satu kumpulan pendesak rentetan pengumuman Datuk Seri Wee Ka Siong mengenai rancangan berkenaan.

“Hal ini pasti menimbulkan tanda tanya memandangkan Datuk Seri Wee Ka Siong sebagai Menteri Pengangkutan bukanlah pihak yang berautoriti membuat pengumuman berkaitan pendidikan, sekiranya benar ada,” katanya pada kenyataan hari ini.

Kenyataan itu merujuk laporan akhbar berbahasa Inggeris bukan kumpulan NSTP berkaitan pembinaan 10 SJKC baharu dan pemindahan enam SJKC sedia ada ke tapak yang lebih besar.

Mohd Alif berkata, kumpulan pendesak dalam isu itu juga pernah mengelirukan rakyat Malaysia dengan memberi kenyataan seolah-olah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dalam pertemuan bersamanya.

Katanya, dakwaan kumpulan itu kemudiannya dinafikan Muhyiddin.

“GPMS berpendapat, adalah lebih baik Kementerian Pendidikan memberi penjelasan tuntas bagi mengelak kekeliruan dan kegelisahan rakyat.

“GPMS juga ingin mengambil ruang ini untuk mendesak Kementerian Pendidikan memberi tumpuan dan dana secukupnya bagi menangani masalah sekolah usang dalam kalangan sekolah kebangsaan.

“Besar harapan GPMS agar sekolah kebangsaan yang jadi tunjang pendidikan negara dalam memupuk perpaduan tidak dianaktirikan, ibarat kera di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 2:30 PM