GAPENA tegur pelaksanaan dasar bahasa, pendidikan, budaya kebangsaan

KUALA LUMPUR: Dasar bahasa, pendidikan dan kebudayaan kebangsaan masih belum dilaksanakan sepenuhnya di negara ini.

Ketua Dua Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Amiruddin Md Ali Hanafiah, berkata Dasar Bahasa Kebangsaan (DBK), Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK) dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) tidak difahami serta dilaksana sepenuhnya oleh kerajaan untuk diikuti rakyat.

“DKK masih tidak lagi dimuktamadkan walaupun negara sudah merdeka lebih 60 tahun.

“Malah, DBK juga masih gagal memahamkan rakyat terhadap kewajipan menggunakan bahasa kebangsaan, manakala DPK juga tidak dipatuhi dalam melaksanakan sistem pendidikan di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Amiruddin yang juga Pengerusi Sambutan Jubli Emas GAPENA berkata, justeru, masih banyak lagi perlu diperjuangkan GAPENA khususnya mengenai bahasa, sastera dan budaya kebangsaan serta agama Islam.

Beliau berkata, GAPENA akan terus menjadi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kekal dengan prinsip dan landasan perjuangan bertujuan melahirkan rakyat menghormati bahasa, sastera dan budaya kebangsaan.

“Perpaduan yang sering dilaungkan saban waktu memperlihatkan ada sesuatu ‘masih tidak betul’ untuk rakyat negara ini.

“Kami mahu rakyat semua kaum di negara ini, bersama-sama mewujudkan perpaduan tanpa mengira anutan agama dan politik,” katanya

Amiruddin berkata, warganegara Malaysia perlu bersama memainkan peranan mendaulatkan bBahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti dipersetujui dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, rakyat Malaysia perlu faham bahasa Melayu bukan milik bangsa Melayu sahaja tetapi milik negara.

Justeru, beliau berkata, bahasa Melayu wajib digunakan dalam semua urusan rasmi di negara ini termasuk di Persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Bahasa Melayu milik rakyat di negara ini dan kita juga tidak boleh mengenepikan bahasa lain sebagai bahasa peruturan.

“GAPENA hanya mampu mengajak rakyat negara ini mendaulatkan Bahasa Melayu tetapi tanggungjawab lebih besar perlu dilaksanakan oleh kerajaan melalui institusi penting.

“Malah, bagi memastikan bahasa ini didaulatkan, GAPENA berpendapat perlu dimulakan di peringkat tadika dan sekolah seperti kata pepatah melentur buluh,biarlah dari rebungnya,” katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/10/745391/gapena-tegur-pelaksanaan-dasar-bahasa-pendidikan-budaya-kebangsaan?topicID=1&articleID=745391