KENYATAAN MEDIA PERTUBUHAN GERAKAN QIAM (QIAM)
BELANJAWAN 2021: KOMITMEN DAN PERIHATIN UNTUK RAKYAT
YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Peruntukan Belanjawan Malaysia berjumlah RM 322.5 bilion yang terbesar dalam sejarah negara, merupakan manifestasi komitmen kerajaan memastikan kebajikan serta kesejahteraan rakyat (UM 11/11/20). Menurut Perdana Menteri lagi, langkah itu diambil demi membela semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama dalam menghadapi penularan pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi negara dan global.
2. Pastinya seluruh rakyat menarik nafas lega selepas diumumkan Belanjawan 2021 tersebut oleh Menteri Kewangan. Daripada penjawat awam, pekerja swasta, petani, nelayan, belia, warga emas sehingga banduan di penjara mendapat manfaat dari Belanjawan itu. Strategi serampang tiga mata Belanjawan tahun 2021 ini adalah mengimbangkan bantuan secara langsung dan tidak langsung kepada rakyat, bantuan kepada komuniti perniagaan dan meransang pertumbuhan ekonomi. QIAM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YAB Perdana Menteri yang mampu menggembeling seluruh jentera kerajaan bukan sahaja menangani pandemik Covid 19, malah membentangkan belanjawan yang begitu besar.
3. QIAM dengan ini mengambil pendirian bahawa Belanjawan Tahun 2021 adalah satu belanjawan yang bertanggung jawab, menyeluruh, perihatin serta mengikut acuan serta kemampuan negara masa kini. Belanjawan ini juga telah digubal dengan mengambil kira maklum-balas dari semua peringkat masyarakat dan memenuhi keperluan semasa semua lapisan rakyat negara ini. Dengan yang demikian, QIAM menyokong penuh Belanjawan 2021 yang dibentangkan serta menyeru supaya warga Parlimen dan seluruh rakyat Malaysia memberi sokongan padu untuk diluluskan.
4. QIAM juga melihat Belanjawan ini sebagai Perancangan Strategik Negara yang amat penting bukan sahaja untuk memacu pembangunan negara tetapi untuk melonjakkan penguasaan ekonomi Bumiputra (yang jauh ketinggalan pada masa ini) ketahap yang sewajar nya. QIAM juga berpegang bahawa selagi penguasaan ekonomi Bumiputra tidak berada di tahap sewajarnya, masa depan dan perpaduan nasional tidak akan terjamin.
5. Kearah matlamat ini QIAM menyarankan penumpuan di tiga bidang strategik:
Pertama ialah Pendidikan yang perlu dimulakan dengan Pendidikan Satu Aliran tanpa sekolah vernakular kerana kita mahukan negara bangsa yang bersatu padu, utoh, berdisiplin, berintegriti dan 100% taat kepada Raja dan Negara. Di peringkat universiti, kaum Bumiputra hendaklah diberikan penajaan dan biasiswa untuk belajar di institusi terbaik di dalam dan di luar negara.
Kedua ialah Pembentukan Komuniti Usahawan dan Perdagangan (PKUP). Al Qur’an menyebut 90% dari rezeki datang dari perniagaan tetapi di negara kita, 90% Bumiputra makan gaji. Untuk itu, sebuah Kementerian Khas perlu diujudkan untuk memastikan “ecosystem”, prasarana, kewangan, bahan mentah dan sebagainya senantiasa terbaik.
Ketiga ialah latihan tenaga kerja agar Bumiputra mempunyai segala kemahiran untuk melengkapkan PKUP tadi. Ini bermakna peranan MARA, TVET, Vokasional hendaklah dilipat-gandakan.
6. Walau bagaimana pun, QIAM sukacita menegaskan bahawa perlaksanaan program di atas bergantung besar kepada peranan yang dimainkan oleh jentera perkhidmatan awam dan ahli-ahli pentadbiran. Apa yang diperhatikan sebelum ini ialah adanya kelemahan ketara dalam perlaksanaan strateji yang diumumkan. Justru itu QIAM menggesa agar Perbelanjaan hendaklah dilaksanakan dengan pantas dengan cara berhemah dan mengikut peraturan yang ditetapkan untuk meggerakkan pertumbuhan ekonomi tampa ada kegelinciran. Pegawai awam dan ahli-ahli pentadbiran mesti berintegriti tinggi dan mengelakkan diri dari amalan rasuah. Sistem pengawalan yang rapi mesti dilaksanakan di setiap jabatan perlaksanaan.
7. Hanya dengan jentera yang cekap dan berintegriti tinggi inilah matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara cemerlang dan gemilang akan tercapai.
Sekian. Terima kasih.
Dato’ Sirajuddin Haji Salleh
Presiden
Muat turun QIAM BELANJAWAN 2021