Belanjawan 2021 telah pun selamat dibentangkan di parlimen. Seperti biasalah nampaknya, walaupun rumah sudah siap, pahat tetap berbunyi. Apa-apapun tahniah kepada kerajaan yang telah bertungkus-lumus menyediakan belanjawan tersebut walaupun tidak mungkin memuaskan hati semua pihak dan merawat semua masalah.
Belanjawan ini dibuat ketika negara kita sedang menghadapi krisis ekonomi, kesihatan dan politik akibat pandemik virus kovik 19 yang diharap akan berakhir segera dengan izin-Nya. Walaupun begitu belanjawan ini tetap berusaha memberi banyak penawar bagi meringankan bebanan rakyat walaupun tidak dapat menyelesaikan semua masalah. Rakyat tetap diutamakan dan dibantu dengan pelbagai inisiatif lama dan baharu yang bertujuan membantu merangsang semula ekonomi dengan kebiasaan atau kelaziman baharu.
Namun dalam beberapa kritikan terhadap belanjawan ini, antara yang agak menonjol ialah kritikan pihak DAP terhadap peruntukan khas yang tidak diberikan kepada sekolah vernakular khasnya kepada sekolah persendirian Cina (SMPC) seperti yang khabarnya pernah diberikan sebelum ini. Isu ini turut diberikan perhatian oleh Pengerusi MIC Kedah seperti yang dilaporkan oleh media di samping semacam ada cubaan mengheret sama pihak MCA. Seharusnya pihak berkenaan sendiri yang sudah tahu jawapannya tidak menghebohkan hal ini kerana sejarah telah membuktikan bahawa bukan orang lain tetapi mereka sendiri yang telah menolak tawaran untuk bersama-sama menjadi sekolah aliran kebangsaan.
Mereka sanggup bersendirian untuk menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa penghantar pendidikan yang meliputi bahasa pentadbiran, urusan peperiksaan dan sebagainya dan bukan sekadar mata pelajaran sahaja, yang amat bercanggah dengan sistem dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar. Apatah lagi dengan semacam ugutan yang bertalu-talu oleh Dong Zong dan sekutunya agar UEC turut diiktiraf walaupun jelas banyak hal yang pincang.
Justeru amat wajar sekolah vernakular dan persendirian tersebut tidak diberi sebarang bantuan. Apatah lagi kebanyakan SMPC jika ditinjau di seluruh negeri banyak yang terlihat amat bagus daripada segi infrastruktur bangunan atau tegasnya mewah berbanding sekolah milik kerajaan sendiri. Kedegilan untuk bersendirian sejak dahulu hingga kini tentunya sudah difikirkan oleh mereka akan kesan negatif akan pendirian yang telah dibuat.
Jadi amatlah wajar dan munasabah serta adil mereka tidak diberi peruntukan seperti sekolah yang mengikuti sistem pendidikan kebangsaan. Oleh itu kerajaan diharap bertegas terhadap kedegilan mereka dan tidak sekali-kali tunduk kepada sebarang tekanan atau paksaan. Biarlah mereka terus menuntut atau mengugut. Malah tiada peruntukan khusus undang-undang dalam perlembagaan yang mewajibkan bantuan kepada sekolah berkenaan.
Bantuan jika diberi pun sebelum ini adalah atas ikhsan dan tidak keterlaluan rasanya jika dianggap sebagai satu kesilapan kerana memberi kepada pihak yang secara sedar dan sukarela tetap engkar untuk bersama-sama dalam satu sistem untuk membina sebuah perpaduan yang sebenar bagi mewujudkan sebuah negara bangsa. Kesilapan yang serupa tidak patut diulang lagi oleh pihak kerajaan dan Kementerian Pendidikan sebagaimana kesempatan yang pernah diambil oleh kerajaan sebelum ini. Tahniah atas ketegasan pihak berwajib.
Kamal Shukri Abdullah Sani,
Kluster Bahasa, Budaya, Sejarah & Sastera
MAJLIS PERUNDINGAN MELAYU