Mengantarabangsakan bahasa Melayu perlu kerjasama

KUALA LUMPUR: Perihal mengantarabangsakan bahasa Melayu sudah lama diperkatakan dan ia sudah pun dimulakan sejak dahulu yang menyaksikan banyak jurusan pengajian bahasa Melayu dibuka di universiti dan kolej luar negara.

Antara negara yang aktif menawarkan jurusan bahasa Melayu adalah China selain Korea, Jepun juga Rusia.

Menerusi perkongsian, Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Komuniti-Industri), Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr Goh Sang Seong dalam laman sosial Dewan Bahasa dan Pustaka, menyebut China misalnya antara negara yang aktif menawarkan pengajian bahasa Melayu dengan sebanyak 16 universiti dan kolej di sana berbuat demikian.

Katanya, jurusan pengajian Melayu itu tidak terhad kepada kajian bahasa Melayu sebaliknya merangkumi sosio budaya, kesenian dan pemikiran Melayu.

“Apabila kita sebut mengantarabangsakan bahasa Melayu juga bermaksud mempelajari tata budaya.

“Kalau diimbas hubungan antara Malaysia dan China ini bukan baharu.

 

Malah ia dimulai sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Ia bukan hanya hubungan diplomatik tetapi juga merangkumi pendidikan,” katanya menerusi acara Rancangan Luar Jendela: Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Tanah Besar China: Citra Bahasa, Lestari Budaya.

Tegasnya, hubungan Malaysia dan China bermula beratus tahun lalu dan juga selepas merdeka hingga kini.

China katanya, mula menawarkan pengajian Melayu pada 1960-an di Beijing Foreign Studies University dan hari ini terdapat 16 universiti dan kolej yang menawarkan pengajian Melayu.

“Ia bukan program satu semester tetapi program pengajian peringkat ijazah sarjana muda yang mengambil masa antara tiga ke empat tahun.

“Mengapa China menawarkan pengajian Melayu? Ini sebenarnya berkait rapat dengan dasar kerajaan mereka iaitu, China melihat kepentingan dua hala dengan negara Asia lain di Asia Tenggara, malah bahasa Melayu adalah bahasa di rantau ini.

“Jadi ia memberi manfaat kepada China daripada segi hubungan dengan negara Asia Tenggara,” katanya.

Tambah San Seong, faktor kedua adalah inisiatif jalur dan laluan yang sedia dimaklumi sebahagian daripada usaha sama antara dua negara.

“Dasar kerajaan di China mempengaruhi tawaran pengajian Melayu. Bentuk program ini merangkumi rangka dan kurikulumnya tidak banyak beza dengan pakej pengajian Melayu di sini tetapi ia lebih dibuat lebih menarik dan komprehensif.

“Ia tidak terhad kepada bahasa Melayu tetapi merangkumi seni, budaya, politik, ekonomi dan sosial selain penterjemahan.

“Kenapa begitu? Sebab antara objektif penawaran kursus berkenaan untuk melahirkan lebih ramai penterjemah dan jurubahasa yang boleh mendekatkan hubungan dua negara,” katanya.

Katanya, hal ini juga disebabkan pada akhirnya pengajian itu bukan hanya untuk memastikan pelajarnya fasih berbahasa Melayu tetapi juga menyelami pemikiran orang Melayu kerana itulah modal komunikasi dan jalani persahabatan lebih erat.

Tambahnya, pelajar program berkenaan juga diwajibkan mengikuti pengajian pemindahan kredit di Malaysia antara enam bulan ke setahun. Sepanjang di Malaysia mereka bukan hanya belajar tetapi menghayati dan memahami lebih dalam mengenai bahasa Melayu.

” Daripada 16 institut pengajian tinggi yang tawarkan program berkenaan lebih 70 peratus terletak di Wilayah selatan China. Hal ini mudah difahami kerana wilayah selatan itu lebih dekat dengan Malaysia.

“Selain itu kebanyakan orang berketurunan Cina di Malaysia asal usul mereka adalah dari wilayah selatan,” katanya.

Bagaimanapun tegas Sang Seong, satu hal yang membuatnya terkedu dalam usaha membantu mengantarabangsakan bahasa Melayu adalah soalan daripada pelajar China yang datang ke Malaysia.

“Saya sukar menjawab soalan mereka, kenapa kami perlu belajar bahasa Melayu, tapi bila tiba di Malaysia, orang di sini tidak cakap bahasa Melayu.

“Soalan begini sebenarnya cabaran besar untuk saya dan juga cabaran untuk usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu.

“Kita tidak mahu bahasa ini hanya mekar di negara orang, tetapi di negara sendiri ia perlu dimartabatkan dan sebenarnya usaha itu tidak terhad di China tetapi juga boleh dipelajari di negara lain,” katanya.

Hal ini katanya sangat penting untuk memperkayakan khazanah keperpustakaan bahasa Melayu, bukan sahaja daripada segi bahasanya tetapi ilmu yang terkandung dalam bahasa itu.

“Kajian berkaitan kemudiannya harus disebarkan. Kerjasama antara universiti yang menawarkan pengajian Melayu ini penting kerana ilmu ini tidak disorot daripada sudut pandang kita sahaja tetapi juga oleh sarjana luar.

“Ia menjadikan bahasa ini lebih dihormati dan disegani dan tidaklah orang menganggap bahasa Melayu ini hanya bahasa kampung. Dalam hal ini kita perlu kerjasama semua pihak,” katanya.

Ketika ini, penutur bahasa Melayu dalam pelbagai dialek di seluruh pelosok dunia mencecah 300 juta orang, menjadikan bahasa Melayu termasuk dalam tujuh bahasa besar di dunia, selain bahasa Russia, Arab, Sepanyol, Hindi, Inggeris dan Mandarin.

Walaupun kebanyakan penutur berasal daripada rumpun Melayu, terdapat juga dalam kalangan Melayu diaspora yang membentuk komuniti bertutur bahasa ini seperti di Afrika Selatan, Sri Lanka, Amerika Syarikat, Australia, United Kingdom dan Arab Saudi.

INFO

– Bahasa Melayu adalah daripada rumpun bahasa Melayu-Polinesia di bawah keluarga bahasa Austronesia.

– Dituturkan melebihi 1,000 tahun lalu di rantau Asia Tenggara merangkumi Malaysia, Indonesia, Thailand, Brunei dan Filipina.

– Rekod terawal bahasa Melayu adalah batu bersurat bertarikh 682 Masihi yang dijumpai di Sumatera Selatan.

– Bahasa Melayu mempunyai banyak dialek dengan setiap satunya mempunyai perbezaan daripada segi sebutan dan kosa kata

https://www.bharian.com.my/rencana/sastera/2021/02/788776/mengantarabangsakan-bahasa-melayu-perlu-kerjasama