‘Itu bukan bahasa ibunda saya’ – Tunku Azizah

Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my

“KALAU bahasa Inggeris saya tidak betul, saya tidak malu kerana itu bukan bahasa ibunda saya,” titah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Baginda hari ini mencuri perhatian warganet menerusi ciapan terbaru di twitter rasminya @cheminahsayang.

 

Titahnya, baginda mengakui tidak malu jika tidak menguasai bahasa Inggeris dengan betul, sebaliknya malu jika tidak kuasai bahasa ibunda sendiri, bahasa Melayu.

 

“Ada masa bahasa Malaysia saya kurang betul dan saya malu, tetapi kalau bahasa Inggeris saya tidak betul… saya tidak malu kerana itu bukan bahasa ibunda saya… saya anak Melayu,” katanya.

Baginda turut berkongsi bahawa sering diketawakan anaknya kerana tidak berbahasa Inggeris dengan betul.

“Kalau cakap ‘orang puteh’ bunyi tak betul pun mereka (anak) ketawakan saya! Saya hanya jawab ‘i like’… dan saya Melayu dan bukan orang puteh, so bear with my Inggeris,” katanya.

Selain itu, baginda turut memuji slang bahasa Inggeris orang Thailand, Indonesia dan Filipina yang disifatkan unik dan sedap didengar.

“Pernah dengar tak orang Siam, Indonesia dan Filipina cakap ‘orang puteh’? Sedap jer slang mereka,” katanya.

Ciapan baginda itu turut mendapat reaksi pantas warganet apabila menerima ‘Retweet’ lebih 20,900 kali dan menerima 34,200 ‘Likes’ setakat 7 petang tadi.

Sementara itu, pemilik akaun twitter, @iqbal_zharif memaklumkan, dia memuji pendirian Tunku Azizah terhadap bahasa kebangsaan.

“Tuanku sangat berjiwa rakyat dan negara. Kita rakyat Malaysia seharusnya bangga dan sentiasa bertutur dalam bahasa ibunda kita,” katanya.

Isu penguasaan bahasa Ingeris kembali menarik perhatian warganet apabila pelakon, Maya Karin memuat naik satu ciapan di akaun rasminya mengenai pengalamannya yang bertanyakan soalan dalam bahasa Inggeris kepada seorang murid perempuan berusia 10 tahun di sebuah sekolah di Terengganu, baru-baru ini.

Menerusi ciapan itu, soalan ditanya Maya tidak dijawab oleh murid berkenaan sehinggalah pelakon itu bertanyakan soalan dalam bahasa Melayu yang kemudiannya dijawab oleh murid itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 8:48 PM