Dasar Bahasa Kebangsaan dalam Pendidikan

 
 
“Dasar Bahasa Kebangsaan dalam Pendidikan”
 
Alangkah cantiknya bahawa dalam Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975), bahasa negara dan pendidikan diberi penghormatan dalam rancangan ekonomi negara. Pada perenggan 752, halaman 265, disebut:
 
“Satu rancangan telah pun di-mulakan untuk menggunakan Bahasa Malaysia (sic. Bahasa Melayu) sebagai bahasa pengantar yang utama di-Malaysia Barat dengan berperingkat2. Ranchangan ini yang menetapkan peringkat pelaksanaan dari masa ke-masa juga mengistiharkan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di-semua sekolah.
 
Ranchangan berperingkat2 ini, yang sudah pun berjalan, meramalkan bahawa menjelang tahun 1975 semua mata pelajaran, melainkan bahasa Inggeris dan bahasa lain, akan di-ajarkan dalam Bahasa Malaysia di-peringkat rendah, dan menjelang tahun 1982 pelajaran menengah, termasok Tingkatan Enam, akan di-ajar dalam bahasa pengantar itu. Oleh sebab itu, menjelang tahun 1983, semua kursus untok penuntut2 yang masuk ka-universiti2 akan di-jalankan dalam Bahasa Malaysia, melainkan kursus2 bahasa lain….”
 
Ulasan:
 
Penubuhan UKM pada tahun 1970 telah merakam bahawa rancangan kerajaan dslam RMK-2 itu terlaksana 13 tahun lebih awal. Pada tahun 1970-an hingga awal 1990-an semua universiti awam mengusahakan pemenuhan rancangan kerajaan itu tetapi pada tahun 1995 mula keluar arahan PM ketika itu, Dr. Mahathir agar bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar bidang sains dan teknologi, khasnya kursus-kursus kritikal seperti perubatan, kejuruteraan dan undang-undang. Sesetengah pemimpin universiti yang bertindak “lebih sudu daripada kuah” malah mengarahkan agar kursus sains kemanusiaan dan kemasyarakan, termasuk linguistik, sastera dan budaya dikuliahkan dalam bahasa Inggeris. Itulah permulaan “zaman gelap” bahasa Melayu di peringkat pendidikan tinggi apabila kebanyakan tenaga akademik mula berkuliah dalam bahasa asing (Inggeris) dan kurang menulis dalam bahasa Melayu kerana tiada keperluan dan tiada insentif. Kita tabik kepada sejumlah yang bertahan dan mempertahankan dasar bahasa kebangsaan hingga kini. Kita mengharapkan kepemimpinan kini mengulang sejarah kemuliaan nurani pemimpin ketika itu, Almarhum Tun Abdul Razak yang melihat pembangunan negara secara holistik dan bersepadu. Pelan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di IPT mesti dipenuhi dengan ikhlas dan terancang dan dipantau oleh KPT. Permintaan ini bukan sesuatu yang aneh atau berlebihan, tetapi untuk kita kembali ke pangkal jalan yang benar, yang dahulu telah pun dilaksanakan dan telah memenuhi sebahagian cita-cita negara.
 
17.3.2021