Buku Ismail Kamus diterjemah bahasa Jepun

KUALA LUMPUR: Buku ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ karya pendakwah terkenal, Allahyarham Datuk Ismail Kamus, yang tercetak sejuta naskhah di negara ini, kini diterjemah dalam bahasa Jepun.

Pelancaran secara maya edisi bahasa Jepun buku terbabit disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, secara langsung di laman Facebook Masjid Putra Heights, hari ini.

Buku itu diterjemah dan dicetak hasil usaha sama Program Infaq Ilmu dan Dakwah ke Jepun, Persatuan Alumni Dasar Pandang ke Timur (ALEPS), Masjid Putra Heights, Bank Rakyat dan Telaga Biru Sdn Bhd.

Dalam ucapannya, Zulkifli berkata, penerbitan buku terjemahan itu tepat pada masanya dalam menyemarak dakwah selain memenuhi lompong dan keperluan umat Islam yang masih mentah dalam pengetahuan agama.

Beliau berkata, usaha dakwah yang dibawa menerusi penerbitan buku itu juga bertepatan dengan pendekatan tadbir urus kerajaan yang berteraskan maqasid syariah.

“Kita harap versi bahasa Jepun ini dapat mencetus satu gelombang atau ‘tsunami’ baharu masyarakat Islam setempat untuk beramal.

“Terhasilnya buku ini diharap dapat menjadi panduan kepada da’i yang hendak meneroka bidang dakwah di Jepun.

“Besar harapan saya supaya buku ini mampu menjadi medium penyebaran dakwah Islam bagi manfaat warga Jepun di Malaysia dan juga di negara Jepun sendiri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelaras Program Infaq Ilmu dan Dakwah ke Jepun, Datuk Zulkifli Abdul Malek, berkata buku itu akan diedarkan dan disumbangkan secara percuma kepada rakyat Jepun.

“Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Duta Jepun ke Malaysia, Hiroshi Oka atas kesudian beliau mewakili rakyat Jepun untuk menerima buku ini,” katanya.

Beliau berkata, selain itu antara penerima lain termasuk Sekolah Jepun Kuala Lumpur, Japan Club of Kuala Lumpur, Dewan Perdagangan dan Industri Jepun (JACTIM) dan semua agensi kerajaan Jepun yang beroperasi di Malaysia.

“Turut menjadi penerima buku ini juga ialah institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia yang menjalankan program berkaitan bahasa Jepun serta pelajar Jepun yang kini menuntut di universiti awam dan swasta seluruh negara.

“Selebihnya akan disumbangkan kepada Islamic Centres atau Pusat Informasi Islam di Jepun melalui Japan Dakwah Centre,” katanya.

Buku Indahnya Hidup Bersyariat adalah panduan untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat dan umat sejagat, merangkumi syariat ketika kelahiran, fardu ain kanak-kanak, penekanan pendidikan remaja, hukum-hakam muamalat (jual beli), munahakat (nikah kahwin dan rumahtangga) serta amalan zikir, doa dan adab bersumberkan al-Quran dan hadis sahih.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/04/804638/buku-ismail-kamus-diterjemah-bahasa-jepun?topicID=1&articleID=804638