BANGI 25 Safar 1441H, Khamis – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dan Majlis Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) bersama pasukan peguam telah memfailkan notis usul untuk mendapatkan keabsahan berkenaan penubuhan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina dan Tamil di Mahkamah Persekutuan, semalam.
Timbalan Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa berkata, notis usul itu difailkan kerana Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk mewartakan Seksyen 17 Akta Pendidikan, yang memberi pengecualian bahasa pengantar utama kepada SJK dan Seksyen 28 akta sama yang membolehkan menteri menubuhkan sekolah berkenaan.
Beliau berkata, Parlimen juga tiada kuasa untuk memberikan kuasa seperti itu kepada menteri pendidikan, kerana Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan – yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan – tidak pula memperuntukkan kuasa seumpama itu kepada menteri pendidikan.
“Tujuan utama permohonan ini dilakukan kerana untuk mendapatkan perintah Mahkamah Persekutuan, sama ada Parlimen mempunyai kuasa mewartakan Seksyen 28 dan Seksyen 17 Akta Pendidikan.
“UMMAH menyokong penuh permohonan usul ini kerana bagi memastikan falsafah pendidikan kebangsaan dan bahasa kebangsaan terus terpelihara sebagai mana termaktub di dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Difahamkan, notis usul itu menamakan Menteri Pendidikan Malaysia sebagai defendan pertama dan kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua.
Seksyen 17(1) menyatakan bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini.
Seksyen 17(2) pula menyatakan jika bahasa pengantar utama di sesuatu institusi pendidikan adalah selain daripada bahasa kebangsaan, maka bahasa kebangsaan hendaklah diajarkan sebagai mata pelajaran wajib di institusi pendidikan itu.
Seksyen 28 pula berkenaan penubuhan dan penyenggaraan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan. Ia menyatakan, “tertakluk kepada peruntukan akta ini, menteri boleh menubuhkan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan dan hendaklah menyenggarakan sekolah-sekolah itu.”