SINGAPURA: Pakar-pakar bahasa Melayu berkata trend orang Melayu di negara ini yang tidak menjadikan Bahasa Ibunda sebagai bahasa utama di rumah adalah “membimbangkan” dan dijangka terus berlanjutan.
“Kemungkinan pada masa-masa akan datang, mungkin 20, mungkin 30 tahun akan datang, Bahasa melayu mungkin hanya akan tinggal sebagai Bahasa yang hanya dipelajari di sekolah dan tidak lebih daripada itu.”
Prof Madya Mohd Mukhlis Abu Bakar.
Demikian gambaran pesimis yang boleh berlaku kepada masyarakat Melayu tempatan, menurut Prof Madya Mohd Mukhlis Abu Bakar, pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu, Bahasa dan Budaya Asia di Institut Pendidikan Nasional (NIE), Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Perangkaan nampaknya menyokong pandangan tersebut.
Jika pada 2010, sekitar 83 peratus orang Melayu menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama di rumah, bilangannya merosot dengan banyak pada 2020 – iaitu sekitar 60 peratus sahaja.
Walaupun trend ini dijangkakan, pakar-pakar tetap menganggapnya suatu kekhuatiran besar.
“Saya kira trend ini memanglah sangat membimbangkan kerana kita lihat betapa usaha pihak MLLPC (Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Bahasa Melayu), pihak MOE (Kementerian Pendidikan) yang mengajar dan juga masyarakat secara menyeluruh yang mencintai bahasa Melayu telah berusaha banyak sekali untuk meningkatkan bahasa Melayu.
“Malangnya apa yang berlaku sekarang ini trend dia sangat membimbangkan,” ulas Prof Madya Roksana Abdullah, pensyarah NIE/NTU.
Menurut beliau, antara sebab utamanya ialah persaingan hebat dalam bidang pendidikan dan pekerjaan, yang lebih mengutamakan dan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.
Lantaran itu kata beliau lagi, ibu bapa rata-rata lebih fokus untuk meningkatkan keupayaan subjek matematik, sains dan bahasa Inggeris untuk anak-anak mereka kerana merasakan itulah subjek-subjek yang sukar.
“Kita pun tak salahkan ibu bapa kerana untuk masuk ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang-bidang pengkhususan yang diminati anak-anak itu, tentulah pencapaian dalam tiga atau empat subjek tertentu yang bukan bahasa (Melayu) itu menjadi keutamaan,” tambah beliau.
PENTINGNYA DAYA DWIBAHASA
Namun demikian, ironinya, salah satu cara menyelamatkan bahasa Melayu ialah dengan memperkuat lagi penggunaan dan amalan dwibahasa hujah beliau.
Prof Madya Roksana Abdullah.
“Ada banyak kajian membuktikan kanak-kanak yang bilingual itu akan menjadi lebih bijak, bila mereka belajar ilmu-ilmu yang lain, kerana minda mereka telah bersedia untuk menyerap ilmu-ilmu pelbagai yang lain.
“Jadi itu adalah satu salah tanggap dalam kalangan ibu bapa yang telah mengetepikan bahasa Melayu dan terus menggunakan Bahasa Inggeris kerana orang dwibahasa ini rata-rata orang yang bersedia untuk belajar ilmu apa sahaja dengan lebih berkesan, jadi itu salah tanggap ibu bapa harus diperbaiki,” tekan Prof Madya Roksana.
Malah, tambah Prof Madya Roksana, ibu bapa yang mendidik anak-anak mereka dengan Bahasa Inggeris sahaja, atau menjadi ekabahasa atau ‘monolingual’, adalah “tindakan yang kurang bijak”.
BACA: Meski bahasa Inggeris lebih kerap digunakan, bahasa ibunda kekal relevan: Majlis penggalakan bahasa
“Saya rasa ibu bapa… mengambil jalan yang tidak berapa bijak, walaupun ada ibu atau bapa yang sangat baik bahasa Melayunya, tapi mereka pinggirkan bahasa (Melayu) itu dan fokus pada satu bahasa itu. Sedangkan banyak kajian telah membuktikan kanak-kanak yang sejak awal umurnya peringkat sebelum umur tiga tahun menggunakan dua bahasa dalam kehidupannya, akan menjadi dwibahasa yang sangat berkesan dan efektif,” jelas pensyarah pengajian Melayu itu.
Prof Madya Mukhlis turut menyokong pendapat tersebut: “Terdapat banyak faedah kalau anak kita dapat berdwibahasa dari segi kognitif, akademik, dari segi kepentingan ekonomi sosial dan budaya dan sebagainya.”
CARA GALAK PENGGUNAAN BAHASA MELAYU DI RUMAH
Penggunaan bahasa Melayu di rumah juga penting, kata Profesor Madya Mukhlis, dan ini boleh dilakukan melalui ‘bahasa basahan’.
Menurut beliau, ‘bahasa basahan’ ini adalah bahasa yang dapat bertahan apabila ia digunakan oleh penutur dalam kehidupan seharian.
Malah ia juga disifatkan para sarjana bahasa sebagai cara paling berkesan dalam memastikan kelestarian bahasa itu, tambah Prof Madya Mukhlis.
“Tak dapat dinafikan bahawa bahasa standard merupakan sumber pendidikan penting untuk mempelajari bahasa tetapi bahasa basahan yang lebih terkait dengan identiti kita, bahasa basahan yang dapat membentuk hubungan keluarga bersama kawan-kawan dan juga membentuk kesetiaan penutur bahasa itu terhadap bahasa mereka,” jelas beliau.
Yang pasti, menurut pakar-pakar, tidak adil untuk mengharapkan kepada guru bahasa Melayu sahaja kerana usaha menangani trend tersebut memerlukan usaha semua pihak.
Menurut Dr Roksana, guru-buru bahasa boleh mengajar sehingga memandaikan anak-anak menulis.
Namun pada akhirnya jika si pelajar tidak mempraktikkan percakapan bahasa Melayu di rumah, “tak ada jadinya”, kata beliau.
– BERITAmediacorp/im
Sila baca https://berita.mediacorp.sg/mobilem/singapura/pakar-trend-melayu-bukan-bahasa-utama-di-rumah-membimbangkan/4625566.html