KUALA LUMPUR: Kekaguman warga Malaysia kepada orang asing yang dapat bertutur dalam bahasa Melayu dengan fasih mungkin berpunca daripada rasa ketidakpercayaan mereka sendiri terhadap potensi bahasa itu.
Mereka mungkin beranggapan bahasa Melayu tidak punya potensi dari pelbagai sudut menyebabkan rasa kagum timbul secara semula jadi.
Hal ini boleh dilihat berdasarkan sambutan orang Malaysia terhadap pempengaruh bangsa asing yang menggunakan bahasa Melayu di media sosial masing-masing. Antaranya Rhys William, Mat Dan, Kouji Jepun dan Maryam You Narae. Mereka sangat terkenal dalam kalangan penutur bahasa Melayu dan mempunyai ramai pengikut.
Pensyarah Bahasa Melayu, Universiti Pengajian Asing Tokyo (TUFS) Jepun, Prof Madya Dr Hiroki Nimoto, berkata hal itu sangat berbeza jika orang Melayu fasih berbahasa Inggeris kerana ia dianggap perkara biasa begitu juga jika mereka fasih dalam bahasa Jepun.
“Misalnya kalau di Jepun, ramai orang asing yang menjadi muncul di televisyen fasih bertutur dalam bahasa Jepun, ia bukan hal luar biasa.
“Namun jika hendak membandingkan kekuatan dan kedudukan bahasa Melayu dan Jepun ia tidak adil. Ini kerana semua itu didorong oleh faktor sejarah dan penjajahan yang mana mempengaruhi kedudukan bahasa Melayu,” katanya dalam Syarahan Darul Iman 3: Megar Bahasa Melayu dari Jendela Matahari Terbit yang disiarkan dalam Facebook rasmi Universiti Malaysia Terengganu.
Nimoto berkata, setiap bahasa mempunyai kekuatannya sendiri dan bahasa Inggeris bukanlah segala-galanya. Malah, ia tidak mampu untuk membantu memahami dunia secara keseluruhannya.
“Bahasa Inggeris itu satu daripada bahasa asing yang perlu dipelajari tetapi untuk lebih memahami dunia dan menguasai maklumat, kita memerlukan lebih daripada satu bahasa.
“Di TUFS, kami menawarkan 28 kursus bahasa dengan bahasa Melayu adalah satu daripadanya,” katanya.
Tegas Nimoto, di Jepun bahasa Melayu dipelajari atas dasar minat individu. Misalnya, seorang daripada pelajar beliau pernah menetap di Malaysia selama lima tahun tetapi tidak berpeluang untuk mempelajari bahasa Melayu kerana penekanan terhadap bahasa Inggeris ketika di sekolah.
“Kerana minat dia menyambung pengajian dalam bahasa Melayu apabila kembali ke Jepun. Faktor minat ini dorongan yang kuat kerana Malaysia jika dibandingkan dengan Indonesia negaranya lebih kecil dan penduduk tidak ramai.
“Kebanyakan warganya boleh berbahasa Inggeris dengan baik, justeru pandangan umum mengenai Malaysia adalah memadai untuk fasih dalam bahasa Inggeris sahaja,” katanya.
Bagaimanapun tegas Nimoto, hal ini tidak begitu tepat kerana bahasa Inggeris bukanlah kunci kepada segala-galanya. Justeru dalam banyak hal, kita perlu kembali ke bahasa asal atau tempatan dan jangan terlalu bergantung kepada bahasa Inggeris.
“Kajian mengenai Melayu misalnya ia hanya di permukaan saja kalau berpandukan bahan dalam bahasa Inggeris. Sebaliknya informasi akan lebih banyak, dalam dan jelas jika bahan kajian bersumberkan bahasa Melayu.
“Misalnya jika berlaku kes kritikal di Afghanistan, tidak boleh berharap maklumat daripada bahasa Inggeris sahaja. Ia lambat dan ada kala tidak tepat jadi lebih baik kita berusaha mempelajari bahasa itu sendiri. Sangat penting bagi sesebuah negara untuk mempunyai pakar dalam pelbagai bahasa,” katanya.
Nimoto berkata, beliau tidak menolak kepentingan bahasa Inggeris tetapi ia tidaklah terlalu penting. Misalnya maklumat mengenai Malaysia mudah diperoleh di Jepun dan ia dalam bahasa Inggeris.
Bagaimanapun apabila disemak, ada sebahagian maklumat itu tidak tepat malah salah sepenuhnya. Ada kala ia hanyalah pandangan sepihak penulis atau berdasarkan sumber daripada penutur bahasa Inggeris sahaja.
“Sebenarnya di Malaysia perspektif penutur bahasa Inggeris dengan penutur lain-lain bahasa misalnya bahasa Melayu atau Mandarin sangat berbeza. Dunia mereka berbeza, kerana itu sangat penting untuk mempelajari bahasa Melayu,” katanya.
Tegas Nimoto, pelajar di Jepun mula mempelajari bahasa Inggeris pada usia 11 tahun dan mereka dikehendaki mempelajari satu lagi bahasa asing apabila memasuki universiti antaranya bahasa Mandarin, Korea, Perancis, Jerman dan Sepanyol.
“Dulu bahasa Russia sangat popular di Jepun tapi sekarang tidak lagi dan diganti dengan bahasa Korea.
“Bahasa Melayu turut diajar tetapi ia tidaklah popular tetapi ada ditawarkan di universiti awam dan swasta,” katanya.
https://www.bharian.com.my/rencana/sastera/2022/01/914950/bahasa-inggeris-bukan-segala-galanya