1. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut baik komitmen YAB Perdana Menteri bagi memartabatkan Bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi di peringkat antarabangsa.
2. Langkah ini sejajar dengan peruntukan Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 2, Akta Bahasa Kebangsaan 1967 terkait penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan.
Langkah murni kerajaan ni adalah sebahagian daripada usaha pengantarabangsaan Bahasa Melayu sebagai bahasa diplomatik dan bahasa perhubungan terutama dalam konteks rangkaian serantau Asia Tenggara.
3. PKPIM berpandangan kerajaan Malaysia melalui Dewan Bahasa Pustaka boleh menawarkan kursus komunikasi Bahasa Melayu kepada Pelajar-Pelajar dan diplomat antarabangsa yang sedang dan akan belajar serta bertugas di Malaysia.
4. PKPIM berharap kerajaan memaksimakan peranan Dewan Bahasa Pustaka sebagai pemain utama ke arah usaha-usaha pengantarabangsaan Bahasa Melayu.
5. Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM mencadangkan agar Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 (Semakan 1978, Pindaan dan Peluasan 1995) diberi nafas baharu termasuklah memberi kuasa kepada DBP untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang tidak menggunakan Bahasa Melayu sebagaimana termaktub dalam lunas hukum.
6. PKPIM menyatakan komitmen kami bagi bersama-sama menjayakan inisiatif pengantarabangsaan Bahasa Melayu dan menyokong usaha menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN.
Hidup Biar Berjasa
Ahmad Farhan Rosli
Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia