Serdang: Institut Penyelidikan Matematik (Inspem) Universiti Putra Malaysia (UPM) mengetuai projek penyelidikan dan pembinaan mercu tanda tamadun Melayu, Kapal Mendam Berahi.
Ketua Laboratori Etnomatematik dan Didaktik, Prof Madya Dr Rohaidah Kamaruddin berkata, pihaknya melaksanakan penyelidikan berkaitan kapal berkenaan sejak lebih empat tahun lalu.
Katanya, beliau dan pasukannya menjelajah Jepun, India selain Turki dan United Kingdom untuk mengumpul manuskrip lama berkaitan kapal berkenaan sebelum menterjemahkannya daripada bahasa purba ke bahasa dan sistem metrik moden.
“Penyelidik mengambil masa kira-kira empat bulan untuk menterjemahkan ukuran dan kiraan sebenar Kapal Mendam Berahi dalam manuskrip lama kepada sistem metrik moden bagi memastikan ia tepat.
“Unit ukuran yang dinukilkan dalam manuskrip lama ialah gaz jadi kita perlu tukarkan kepada unit metrik moden menjadikan ukuran kapal itu 50.292 meter (panjang) dan lebar 10.9728 meter,” katanya pada sidang media di Inspem di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Inspem, Prof Dr Muhammad Rezal Kamel Ariffin.
Beliau berkata, pihaknya dalam proses menyediakan pelan tindakan bagi projek pembinaan kapal berkenaan yang dijangka siap sepenuhnya tahun hadapan.
“Mengikut anggaran pihak industri kapal, kos pembinaan Kapal Mendam Berahi menelan belanja lebih RM10 juta.
“Justeru untuk projek ini, kita tidak akan gunakan kayu cengal batu seperti asal, sebaliknya material berlainan bagi menjimatkan kos pembinaan dan penyelenggaraan selain mengekalkan ukuran dan reka bentuk asal Mendam Berahi.
“Paling penting, ‘blueprint’ pembinaan kapal ini akan berpandukan manuskrip lama termasuk Hikayat Hang Tuah kerana Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) menerimanya sebagai buku manuskrip teragung,” katanya.
Katanya, apabila siap kapal itu bukan hanya dapat mengembalikan kegemilangan sejarah tamadun Melayu, malah berupaya dikomersialkan menerusi sektor pelancongan.
“Dalam blueprint ini kita mencadangkan kapal ini dibina setinggi tiga tingkat sebuah bangunan dengan boleh memuatkan kira-kira 200 kapasiti penumpang.
“Kita juga akan mendapatkan pandangan pakar termasuk pihak industri, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selain mengalukan-alukan pihak berkaitan berkongsi hasrat merealisasikan projek ini dengan menyumbang sumber dan idea,” katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/03/824488/kapal-mendam-berahi-dibina-semula