Hari ini, 03 Mac (1967) telah berlaku peristiwa bersejarah “Perarakan Keranda 152” sebagai protes dan bantahan rakyat terhadap Kerajaan Malaysia yang gagal menunaikan janji mendaulatkan Bahasa Melayu setelah 10 tahun negara mencapai kemerdekaan.
“Keranda 152” adalah simbolik kematian Bahasa Melayu yang diposisikan dan diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai Bahasa Kebangsaan sekaligus sebagai Bahasa Rasmi dan Bahasa Pengantar.
Isu tercetus di Parlimen Malaysia apabila Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan 1967 yang masih mengekalkan penggunaan Bahasa Inggeris dalam beberapa sektor termasuk bidang kehakiman dan pendidikan diterima setelah dibahas dan undian dilakukan.
Malang sekali, tempoh 10 tahun setelah merdeka dikatakan tidak mencukupi untuk Bahasa Melayu menggantikan Bahasa Inggeris yang menjadi Bahasa Pengantar dan Bahasa Urusan Rasmi sejak zaman penjajahan.
Kemuncak bantahan berlaku selepas Solat Jumaat, 03 Mac 1967 di Balai Budaya, Bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DLP). Antara tokoh penting ketika itu termasuklah Sasterawan Usman Awang yang juga bertugas sebagai editor Majalah Dewan Masyarakat, dan Dewan Budaya terbitan DBP.
Dalam ucapan berapi-api oleh para penulis, budayawan dan aktivis pemuda, para demonstran seramai hampir 2,000 orang berazam untuk berarak mengusung Keranda 152 menuju parlimen untuk dikebumikan. Usman Awang mengabadikan perjuangan ini dalam puisinya, “Keranda 152”.
Mujurnya, beberapa tahun kemudian setelah tercetus peristiwa 13 Mei 1969, Menteri Pelajaran ketika itu, Abdul Rahman Yaakub (Tun) secara berani merubah dasar Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di institusi pendidikan.
Malah, kemudiannya dalam Konvensyen Ekonomi Melayu telah memutuskan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai pengemban amanah bangsa.
Perarakan Keranda 152 yang kedua pula telah berlangsung pada 07 Mac 2009, sebagai bantahan terhadap Dasar PPSMI bermula 2003 yang telah terbukti gagal dan merugikan.
Tahun 2016 ini mungkin menyaksikan Perarakan Keranda 152 kali ketiga apabila KPM sekali lagi memperkenalkan program Dual-Language Program (DLP) yang mirip PPSMI.