Kenyataan Media
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
6 April 2022 / 4 Ramadan 1443H
ANGKAT BAHASA MELAYU SEBAGAI PENGANTAR KEDUA RASMI ASEAN: INDONESIA – MALAYSIA PERLU SAMA-SAMA TINGKAT PERSEFAHAMAN & ELAKKAN POLEMIK.
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kenyataan Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Riset, dan Teknologi Indonesia, Nadiem Makarim mengenai usul yang diketengahkan Malaysia untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama ASEAN.
ABIM menegaskan bahawa usul dan usaha YAB Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob untuk mengangkat Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi Kedua organisasi tersebut, perlu disambut baik dengan mencari kesepakatan yang untuk sama-sama menempatkan lingua ini pada peranan yang strategik.
Ini sejajar dengan fungsi bahasa Melayu sebagai pengantar utama ketika alam Melayu menjadi pusat peradaban kosmopolitan yang memimpin dinamika rantau Asia Tenggara.
Selain itu, perlu ditegaskan dalam persuratan Indonesia sebelum Merdeka, bahasa yang digunakan adalah “bahasa Melajoe” (bahasa Melayu dalam ejaan pengaruh Belanda.) Namun, selepas Sumpah Pemuda bertarikh 28 Oktober 1928 maka digunakan nama Bahasa Indonesia dalam pernyataan jati diri tiga serangkai – “Bertanah air yang satu – Negara Indonesia, Berbangsa yang satu – Bangsa Indonesia, Berbahasa yang satu – Bahasa Indonesia”.
Kenyataan ini juga bersandarkan kepada keputusan nombor 8 Kongres Bahasa Indonesia Kedua yang diadakan di Medan, (28 Oktober – 2 November 1954) yang mengatakan:
“Bahwa asal bahasa Indonesia ialah bahasa Melayu, dasar bahasa Indonesia ialah bahasa Melayu yang disesuaikan dengan pertumbuhannya dalam masyarakat Indonesia sekarang”.
Penggunaan istilah bahasa Melayu juga sifatnya meluas merentas negara, iaitu digunakan oleh mana-mana rumpun Melayu di mana-mana rantau di dunia ini.
Justeru, ABIM menegaskan isu bahasa Melayu seharusnya menjadi medan yang menyatukan warga Alam Melayu.
Sebagai jalan tengah untuk mengelakkan polemik serta pertelagahan istilah yang merugikan, antaranya ia boleh diselesaikan dengan penggunaan istilah yang boleh menyatu seperti “Bahasa Melayu – Nusantara”.
Di sini pentingnya untuk kita bersama mengangkat semula Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) yang merupakan sebuah badan kebahasaan serantau yang ditubuhkan untuk merancang dan memantau perkembangan bahasa Melayu yang merupakan khazanah kosmopolitan rantau Nusantara.
Muhammad Faisal Abdul Aziz
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)