MPM cadang Program Dwibahasa dalam pendidikan dimansuhkan

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Melayu (MPM) berharap Kementerian Pendidikan (KPM) memansuhkan Program Dwibahasa (DLP) yang ketika ini dilaksanakan di sekolah rendah dan menengah.

Perkara itu disuarakan Pengerusi Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti MPM, Kamal Shukri Abdullah Sani, selepas pendirian kerajaan untuk tidak memberi keutamaan kepada usaha mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ketika ini dan berpegang teguh kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan serta peruntukan dalam Akta Pendidikan 1996.

“Seterusnya, MPM berharap program DLP juga dimansuhkan oleh KPM tetapi bukan secara ‘soft-landing’ seperti pemansuhan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dahulu supaya tiada pihak yang cuba menahan ikan di lukah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, wujud gesaan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis bahasa supaya kerajaan memansuhkan DLP kerana ia secara dasarnya sama seperti PPSMI.

DLP diperkenalkan secara rintis pada 2016 di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Mengenai UEC, Kamal Shukri, berkata jika sijil itu diiktiraf, sistem peperiksaan di sekolah akan menjadi caca marba dan membuka lebih banyak ruang untuk pihak lain seperti NGO, badan swasta, malah syarikat memohon untuk mengendalikan peperiksaan secara sendiri, bertunjangkan keuntungan dan faktor lain.

“Ia akan mengetepikan keseragaman dan kesepaduan falsafah pendidikan negara, selain akan terdedah kepada risiko atau ketidakakuran terhadap kebolehpercayaan dan keabsahan sistem peperiksaan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, Dasar Pendidikan Kebangsaan selama ini menyatukan pelajar melalui sistem pendidikan kebangsaan dan sistem peperiksaan yang seragam serta berkualiti sejak merdeka, dengan kawalan dan kendalian badan berautoriti seperti Lembaga Peperiksaan Malaysia dan Majlis Peperiksaan Malaysia.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Khamis lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata KPM tidak melihat usaha untuk mengiktiraf UEC yang yang dilaksanakan di sekolah menengah persendirian Cina (SMPC), sebagai keutamaan ketika ini.

Katanya, pendirian itu berlandaskan kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan dan peruntukan Akta Pendidikan 1996 yang sentiasa menjadi pegangan KPM.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/02/1066080/mpm-cadang-program-dwibahasa-dalam-pendidikan-dimansuhkan#.Y_DfhEKZtKI.whatsapp