Modenisasi bahasa Melayu perlu kekal kualiti

BAHASA adalah alat pembentukan jati diri nasional yang mencerminkan sejarah, nilai dan warisan budaya masyarakat penutur jatinya. Apabila bahasa sesebuah bangsa itu mulai hilang dan terpinggir, maka akan terancamlah jati diri komuniti itu.

Ungkapan ‘hilang bahasa, lenyaplah bangsa’ jelas menggambarkan signifikan pemeliharaan bahasa sebagai satu daripada usaha jitu dalam mengekalkan jati diri sesuatu bangsa.

Hal ini terpakai dalam konteks bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang seharusnya berperanan mempersatukan bangsa Malaysia.

Dalam era globalisasi ini, media sosial sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. Malah ia dikatakan sudah banyak mengubah dunia kerana kemampuannya mempengaruhi pendapat umum, selain membentuk sikap dan tingkah laku masyarakat.

Namun, media sosial turut dikaitkan dengan isu kekacauan bahasa yang menyaksikan ia mula menjadi ancaman kepada bahasa Melayu. Misalnya, penggunaan bahasa yang ringkas dan singkat selari dengan aliran zaman lebih digemari. Malah, ia kian mendominasi khususnya dalam media sosial berbanding penggunaan bahasa standard dengan sistem yang perlu dipatuhi.

Antaranya penggunaan kata ‘ntah’ (entah), ‘pape’ (apa-apa), ‘takde’ (takda/tidak ada), ‘dgn’ (dengan), ‘pegi’ (pergi), dan ‘pulak’ (pula).

Bukan itu sahaja, golongan remaja turut menggunakan istilah baharu dalam percakapan kini untuk makna tertentu. Misalnya, kata ‘kacang’ (mudah), ‘jambu’ (lembut), ‘lu’ (awak/engkau) dan ‘gua’ (saya/aku).

Dalam hal ini, Pensyarah Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Che Ibrahim Salleh berpandangan bahasa slanga adalah kebiasaan dalam kehidupan seharian, namun ia mula mencetuskan kebimbangan apabila melepasi batas rasmi dan dianggap hal yang biasa malah sebati dalam jiwa masyarakat.

Namun, beliau menegaskan, sesuatu yang dianggap hal biasa tidak bermakna betul. Mungkin ada segelintir masyarakat beranggapan bahawa perkembangan sebegitu sebagai sesuatu yang kreatif. Bagaimanapun ia mempunyai dampak tersendiri dari segi kredibiliti bahasa Melayu dan nasibnya pada masa akan datang.

Penggunaan bahasa yang tidak betul, teratur dan sistematik, serta sifat bahasa yang ringkas serta hanya mementingkan unsur faham-memahami mampu melunturkan kemurnian juga keaslian bahasa Melayu.

Pengambilan, peminjaman istilah asing

Selain itu, dampak daripada peminjaman istilah asing turut menjadi faktor keadaan itu kerana ia mampu menenggelamkan istilah dengan maksud sama yang ada dalam bahasa Melayu.

Penggunaan perkataan asing yang berlebihan atau dipinjam secara terus daripadanya boleh mengakibatkan hilangnya ciri dan jati diri. Modenisasi bahasa mampu membatasi kemampuan bahasa Melayu untuk mengungkap konsep lokal. Jika bahasa Melayu terlalu dipengaruhi oleh bahasa asing, maka kemampuannya untuk mencerminkan aspek budaya, tradisi dan nilai lokal yang unik akan berkurangan.

Bagaimanapun Che Ibrahim menegaskan pengambilan dan peminjaman istilah daripada bahasa lain adalah perlu dan boleh sahaja berlaku disebabkan arus globalisasi kini, pada masa sama, perlu untuk kita memperkenalkan semula istilah sedia ada dalam bahasa Melayu yang membawa makna sama.

Usaha menjaga dan mempromosikan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan benar, serta memperkaya kosa kata dan konsep lokal mencerminkan kekayaan budaya bangsa Malaysia amat penting dilestarikan.

Hal ini akan membantu mempertahankan kedaulatan bahasa Melayu sebagai jati diri nasional yang kuat dan meningkatkan pemahaman budaya serta komunikasi antara masyarakat Malaysia.

Bahasa adalah satu sistem yang sentiasa mengalami perubahan dan terus berkembang dari semasa ke semasa. Pemodenan dan perubahan sosial adalah bahagian semula jadi dalam evolusi bahasa.

Bagaimanapun, adalah penting untuk memastikan bahawa bahasa kekal berkesan sebagai alat komunikasi dan masyarakat secara amnya memahami serta mematuhi peraturan juga norma bahasa yang digunakan.

Sekiranya bangsa kita sendiri tidak berasa megah dalam menggunakan bahasa kebangsaan yang betul, maka lama-kelamaan fungsi dan peranannya bakal terhakis malah pupus akhirnya.

Bahasa Melayu tidak seharusnya dipinggirkan atas nama kemajuan negara semata-mata. Perlu diingat bahawa bahasa dalam pembinaan peradaban baharu pada abad ini berperanan penting dalam meningkatkan maruah dan kecemerlangan budaya bangsa.

Sharifah Hannah Adibah Wan Serail,
Universiti Putra Malaysia

https://www.bharian.com.my/rencana/minda-pembaca/2023/09/1150264/modenisasi-bahasa-melayu-perlu-kekal-kualiti