Isu Jawi: Desakan Dong Zong serlah sikap rasis, cauvinis

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 2 Rabiulakhir 1441H, Jumaat – Desakan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) supaya lembaga sekolah dibenarkan membuat keputusan dalam isu pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular hanya menggambarkan sikap rasis, cauvinis dan anti-nasional mereka.

Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia, Prof Datuk Dr Awang Sariyan berkata, pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular tiada kaitan dengan usaha mengislamkan pelajar bukan Islam.

“Lebih 600 orang pelajar lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) yang majoritinya Melayu dihantar selama lima tahun oleh KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) ke Beijing, untuk mengikuti kursus Ijazah Pengajian Mandarin tetapi tidak ada yang bertukar menjadi orang Cina, menganut agama Buddha atau menganut ideologi negara China.

“Di Malaysia sekitar 60,000 anak Melayu belajar di SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) dan menguasai tulisan Cina, tetapi mereka tetap Melayu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, Dong Zong dan kumpulan pendidikan Cina membangkitkan kembali isu tulisan Jawi apabila memaklumkan mahu menghantar memo kepada Kementerian Pendidikan untuk menuntut supaya lembaga sekolah dibenarkan membuat keputusan dalam isu pembelajaran tulisan Jawi di sekolah rendah vernakular.

Presiden Dong Zong, Tan Tai Kim dilaporkan berkata, mereka tidak berpuas hati apabila lembaga sekolah tidak tersenarai sebagai pembuat keputusan dalam pengajaran Jawi di sekolah vernakular tahun depan, walaupun sudah lima pertemuan diadakan dengan kementerian.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengumumkan bahawa jemaah menteri memutuskan pengenalan tulisan khat ini akan dimuatkan sebanyak tiga muka surat sahaja dalam buku teks.

Katanya, jemaah menteri juga menetapkan supaya pengenalan tulisan khat dilaksana secara pilihan dengan guru diberikan kuasa untuk membuat keputusan mengenai kaedah pelaksanaannya di bilik darjah masing-masing.

Mengulas mengenai perkara itu, Dr Awang yang juga Penyandang Kursi Za’ba Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, usaha Dong Zong untuk menolak tulisan Jawi yang menjadi sebahagian dari alam Melayu, membuktikan bahawa wujudnya golongan yang buta sejarah atau sengaja berniat mahu meminggirkan salah satu unsur penting tamadun negara dan rantau ini.

Selain itu, katanya, tulisan Jawi sudah diperkenalkan dalam lingkungan 1,000 tahun lalu iaitu sejak orang Melayu mengubah suai tulisan itu daripada tulisan Arab.

“Dalam tempoh ratusan tahun (abad ke 15 hingga 19), sebarang urusan surat-menyurat dan perjanjian kerajaan-kerajaan Melayu seperti Melaka dan Acheh dengan kerajaan asing seperti Belanda, Inggeris, Portugal, Sepanyol adalah dalam bahasa Melayu dan bertulisan Jawi.

“Surat dan perjanjian itu hingga kini tersimpan di beberapa buah negara barat dan negara di alam Melayu,” katanya.

Pada masa sama, Dr Awang menggesa supaya pejuang pendidikan Cina membantu generasi muda untuk memahami Jawi sebagai salah satu unsur kebudayaan kebangsaan.

“Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 meletakkan kebudayaan Melayu sebagai teras utama dan unsur-unsur kebudayaan lain, yang wajar dan sesuai diterima dalam kebudayaan kebangsaan negara ini. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

“Penentang pengenalan tulisan Jawi di sekolah perlu bersikap lebih rasional dan matang selain tidak berprasangka buruk kerana ada faedahnya dalam penyuburan persefahaman dan perpaduan.

“Ada sejumlah tokoh dan orang terpelajar Cina yang menguasai tulisan Jawi, tetapi mereka tidak bertukar menjadi Melayu apatah lagi Islam,”katanya.