PUTRAJAYA: Seorang peguam menegaskan Perkara 152 (6) Perlembagaan Persekutuan bertujuan mengukuhkan kedudukan Perkara 152 (1) proviso (a) yang mana menyatakan penggunaan bahasa lain boleh digunakan, diajar dan dipelajari kecuali atas urusan rasmi.
Peguam bela Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (GAPENA), Mohamed Haniff Khatri Abdulla, berkata seseorang boleh belajar atau mengajar bahasa lain, namun ia tidak boleh digunakan dalam urusan rasmi sebagai bahasa pengantar.
“Hujahan kami oleh kerana pendidikan adalah urusan rasmi, maka penggunaan bahasa sebagai medium pengajaran wajib dalam bahasa Melayu.
“Sekiranya pendidikan adalah urusan rasmi, maka pengajaran silibus kerajaan di mana-mana sekolah juga adalah urusan rasmi,” katanya di hadapan panel tiga hakim yang mendengar rayuan MAPPIM, GAPENA, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru), hari ini.
Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Supang Lian yang bersidang bersama Datuk M Gunalan dan Datuk Azizul Azmi Adnan.
Pada 29 Disember 2021, Mahkamah Tinggi menolak saman oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), MAPPIM, GAPENA dan ISMA, sebelum GPMS menjadi satu-satunya pihak tidak memfailkan rayuan.
Ia susulan, Hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, memutuskan bahawa kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah terbabit adalah sah serta berperlembagaan.
Menerusi saman yang difailkan pada Disember 2019, GPMS, MAPPIM, GAPENA dan ISMA menamakan beberapa pihaktermasuk kerajaan, kumpulan pendidik Cina Dong Zong dan Jiao Zong, Persatuan Thamizhar Malaysia.
Pada 29 Mei lalu, Pesuruhjaya Kehakiman pada masa itu, Abazafree Mohd Abbas, ketika menolak saman I-Guru pula memutuskan bahawa kewujudan sekolah vernakular adalah sah dan berperlembagaan.
I-Guru yang menamakan Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia memohon deklarasi bahawa Seksyen 17 serta 28 Akta Pendidikan 1996 adalah tidak konsisten dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu adalah terbatal serta tiada kesan.
Majlis Bahasa Cina Malaysia, Persatuan Tamil Neri Malaysia, Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil Malaysia, MCA dan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dibenarkan mencelah dalam saman difailkan oleh I-Guru.
Mohamed Haniff berkata, Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan adalah berhubung ketiadaan kebolehan diskriminasi terhadap rakyat Malaysia daripada mana-mana bangsa atau agama sekalipun dalam perolehan pendidikan dan dana daripada kerajaan atau institusi pendidikan.
Beliau berkata, Perkara 12 bukan berkaitan penggunaan bahasa pengantar di institusi pendidikan membabitkan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
“la tidak langsung menyentuh berkaitan dengan penggunaan bahasa pengantar. Justeru, mahkamah tidak boleh tercelaru dengan cadangan salah responden (kerajaan) yang mengatakan Perkara 12 terpakai sedangkan ianya tidak terpakai langsung.
“Tiada aduan dan permintaan oleh perayu untuk mendiskriminasi mereka yang berketurunan India dan Cina. Oleh sebab itu, mereka diminta untuk dimasukkan dalam sistem pengajian sama,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan 23 November ini untuk keputusan rayuan terbabit.