KENYATAAN MEDIA MPM – Memperkukuh Bahasa Melayu dalam Belanjawan Negara 2024 dan Mansuhkan Program DLP

Majlis Perundingan Melayu (MPM) mendahului ucapan tahniah dan syabas kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan membentang Belanjawan 2024 dan menggesa agar kerajaan terus memperkukuh usaha pembangunan bahasa Melayu di Malaysia sebagai bahasa rasmi dan bahasa sains dan teknologi di negara ini dengan memberi peruntukan yang berganda dan mencukupi dalam belanjawan yang akan dibentang pada Jumaat nanti.

Sekadar tercatat dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan sahaja sejak 1957 tidak mencukupi tetapi yang penting ialah amalan iaitu dalam pelaksanaan dan penguatkuasaannya bagi semua bidang. Pindaan akta DBP yang difahamkan masih “tersangkut” lagi di Jabatan Peguam Negara hendaklah dipercepat. Begitu juga dengan naskah Perlembagaan Persekutuan yang wajib diumum segera secara rasmi bahawa teks sahihnya ialah teks dalam bahasa Melayu. Hal penting ini tidak wajar ditangguhkan lagi kerana telah bertahun disiapkan sehingga boleh menjadi pertikaian dalam urusan perundangan dan kehakiman. Pemurnian istilah dan sebagainya boleh dibuat dari semasa ke semasa oleh Jabatan Peguam Negara, DBP dan pihak yang berkaitan.

Selaras dengan usaha memperkukuh bahasa Melayu bagi pelbagai bidang termasuk sains dan teknologi, “program” Dwibahasa (dual-language programme, DLP) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia yang merupakan warisan muslihat Pengajaran Sains Matematik dalam bahasa Inggeris atau PPSMI juga wajar dihentikan segera dan Majlis Perundingan Melayu (MPM) membantah keras sebarang usaha untuk melanjutkan lagi program “DLP-PPSMI” ini dan tidak patut diberi sebarang peruntukan dalam belanjawan nanti, apatah lagi jika ditambah maka akan mempercepat merosotnya bahasa Melayu sebagai bahasa teknologi bagi masa depan negara dan bangsa di Malaysia di samping turut merencat usaha untuk memperbanyak pelajar dalam bidang sains teknologi yang merosot mulai era PPSMI semasa Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri. Sebagai negara yang menjulang konsep madani wajarlah negara kita mencontohi bangsa yang berjiwa besar yang membangun negara mereka dengan bahasa sendiri. Jika bukan bangsa-bangsa dan pemimpin di Malaysia sendiri yang gigih untuk tujuan ini, siapakah lagi yang hendak diharapkan. Justeru MPM merayu campur tangan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan selaku pejuang bahasa kebangsaan tulen sejak era tujuh puluhan agar tidak tunduk kepada sebarang tekanan daripada mana-mana golongan anglophiles yang masih terjajah mindanya dan terus memuja bahasa negara lain walaupun sudah lebih enam-puluh tahun merdeka. Mereka tetap degil dan meragui keupayaan bahasa negara sendiri dan sengaja membutakan diri akan hakikat bahawa semua tamadun besar di dunia ini membangun melalui upaya bahasa sendiri seperti Jerman, Rusia, Turki, Britain, Amerika, Sepanyol, Korea, Jepun dan lain-lain. Negara dan bangsa madani wajiblah menjunjung bahasa negara sendiri.

Kamal Shukri Abdullah Sani,
Pengerusi
Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti Madani,.
Majlis Perundingan Melayu (MPM)

Tel. 0122002811