Oleh Fazleen Safina
BANGI, 3 Rabiulakhir 1441H, Sabtu – Keputusan mahkamah menolak permohonan parti Gerakan yang mahu pembelajaran tulisan Jawi tidak diajar di sekolah Cina dan Tamil seluruh negara adalah wajar.
Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia, Prof Datuk Dr Awang Sariyan berkata, keputusan yang dibuat adalah berdasarkan peruntukan dalam Perkara 152 Perlembagaan Negara, iaitu peruntukan mengenai penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini.
“Tulisan bagi bahasa rasmi ialah Rumi, tetapi Jawi tidak boleh dihalang penggunaannya termasuk pengajarannya juga,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, yang menolak permohonan parti Gerakan supaya pembelajaran tulisan jawi tidak diajar di sekolah Cina dan Tamil di seluruh negara.
Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Amarjit Serjit Singh yang memutuskan tulisan Jawi adalah sebahagian daripada Bahasa Malaysia, yang juga bahasa kebangsaan.
Beliau berkata, pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi oleh kerajaan juga tidak bertentangan dengan semangat Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 dan peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Mengulas lanjut, Dr Awang yang juga Penyandang Kursi Za’ba Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, tulisan Jawi adalah salah satu unsur penting bagi bahasa Melayu sejak kira-kira 1,000 tahun lalu.
Justeru, beliau menggesa pihak yang menolak tulisan Jawi dalam pelajaran bahasa Melayu supaya bersikap lebih rasional, selain menerima fakta bahawa Jawi adalah sebahagian daripada bahasa Melayu.
“Hormatilah bahasa negara milik bersama semua rakyat seadanya dan jangan berprasangka.
“Apatah lagi yang diajarkan itu hanya pengenalan dan amat ringkas, sebagai rasa penghargaan kepada salah satu unsur budaya negara kita,” tegasnya.