Berjiwa besar guna, martabat bahasa kebangsaan

Arahan terbaharu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya sebarang surat rasmi mana-mana pihak sama ada daripada kerajaan sendiri mahupun swasta diutuskan dalam bahasa Melayu dan jika ditulis selain bahasa kebangsaan, ia wajib dipulangkan semula hakikatnya menunjukkan isu kebahasaan belum selesai meskipun negara sudah lebih seabad merdeka dan kedudukannya sudah dipateri dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32).

Malah, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah banyak kali mengeluarkan pekeliling perkhidmatan mengenai pemerkasaan bahasa Melayu termasuk pada 2020 yang wajib dipatuhi semua penjawat awam, manakala Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melaksanakan pelbagai inisiatif terutama audit bahasa di kementerian dan agensinya.

Sebenarnya, isu bahasa lain dalam surat rasmi hanya sebahagian kecil pengabaian dan pelanggaran kewajipan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi seperti mesyuarat dan majlis membabitkan kehadiran warganegara sendiri serta papan tanda dan iklan, selain penamaan inisiatif kerajaan, bangunan, perumahan, tempat awam serta jalan yang mencampuradukkan bahasa terus berlaku. Malangnya, usaha memartabatkan bahasa Melayu yang sudah terang lagi bersuluh itu ibarat sebesar-besar bumi ditampar tak kena kerana sukar dilakukan termasuk dalam perkhidmatan awam sendiri. Malah, Anwar bukan Perdana Menteri dan pemimpin pertama memberikan peringatan serupa tetapi ia seperti masuk ke telinga kanan, keluar ke telinga kiri.

Foto hiasan. - Fail Bernama
Foto hiasan. – Fail Bernama

Hakikatnya, pemartabatan bahasa Melayu tidak akan dapat sempurna melalui perundangan dan peraturan semata-mata, sebaliknya menuntut jati diri, patriotisme serta kesedaran penjawat awam sendiri untuk memastikan penggunaan bahasa kebangsaan dalam semua urusan rasmi, jauh sekali bersikap seperti pahat dengan penukul atau hingga perlu diarahkan Perdana Menteri. Justeru, kita mengingatkan penjawat awam supaya mengambil tanggungjawab dengan serius untuk memastikan penggunaan bahasa Melayu menepati apa sudah ditetapkan Perlembagaan, undang-undang dan pekeliling perkhidmatan, sekali gus mempunyai sensitiviti terhadap sebarang ketidakpatuhan sama ada dilakukan dalam konteks kerajaan mahupun dalam hubungan dengan pihak luar.

Kita juga mengingatkan menteri dan timbalannya, ketua setiausaha (KSU), ketua agensi dan jabatan memberikan teladan kepada pegawai dan kakitangan di bawah, sekali gus tidak menggunakan bahasa asing atau mencampuradukkannya dalam urusan rasmi termasuk memberikan kenyataan di media dalam situasi umum seperti pernah berlaku sebelum ini hingga menggagalkan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan. Kita mahu seluruh anggota pentadbiran dan perkhidmatan awam di negara ini memperlihatkan ketegasan serta kesungguhan seperti ditunjukkan pemimpin dan pegawai negara luar umpamanya Indonesia, Thailand, China, Jepun, Turkiye dan Perancis yang berjiwa besar dalam soal jati diri bangsa hingga berbangga menggunakan bahasa kebangsaan termasuk di pentas antarabangsa.

 

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/10/1169378/berjiwa-besar-guna-martabat-bahasa-kebangsaan