KUALA LUMPUR: Kegagalan sesetengah pihak menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi adalah biadap kerana mencabul mencabul Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Pengerusi, Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti Madani, Majlis Perundingan Melayu (MPM), Kamal Shukri Abdullah Sani, berkata susulan itu penegasan dan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya jabatan kerajaan, kementerian dan universiti tidak melayan dan memulangkan semua surat yang tidak ditulis dalam bahasa kebangsaan perlu disambut baik.
Katanya, penegasan seperti itu tidak boleh diremehkan kerana Malaysia sudah merdeka selama 66 tahun tetapi bahasa kebangsaan masih tidak dihormati dan diperlekeh oleh rakyat Malaysia sendiri.
“Apakah lagi alasan yang mahu digunakan oleh mereka yang masih tidak menguasai dan menghormati bahasa kebangsaan?
“Malah ada yang gagal ujian mudah bahasa Melayu bagi memohon taraf kewarganegaraan?,” katanya.
Tegas Kamal Shukri, penegasan itu juga seharusnya merangkumi semua pihak termasuk institut pengajian tinggi swasta juga awam.
Hal ini disebabkan, masih ada pihak yang mengabaikan penggunaan bahasa kebangsaan susulan tiada lagi pengauditan atau kurangnya penguatkuasaan akan hal berkenaan.
Kamal Shukri berkata, penegasan itu juga perlu selari dengan membangunkan budaya membaca. Hal ini katanya penting dalam mewujudkan budaya berfikir yang natijahnya akan memperbanyak kepustakaan bahasa Melayu
” Justeru penguasaan bahasa yang banyak dan pastinya bukan Inggeris sahaja, dapat menjadi pemangkin bagi usaha itu melalui rujukan yang dapat dibuat.
“MPM mengucap syabas kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan semoga terus istiqamah memperjuang bahasa Melayu sebagai bahasa pemersatu, perpaduan serta bahasa sains dan teknologi di negara ini yang kini hampir musnah jasad dan rohnya dalam bidang pendidikan dan ranah lain kehidupan akibat program seperti Pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan Program Dwibahasa (DLP),” katanya.