Jawi: Harus dilaksana bagi perkasa aspirasi pendidikan silang budaya

Oleh Nurul Atikah Mohd Rosli

BANGI, 3 Rabiulakhir 1441H, Sabtu – Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) menyokong penuh terhadap cadangan kaligrafi tulisan jawi diteruskan dalam subjek teras kurikulum kebangsaan.

Ketua Eksekutifnya, Mohd Zai Mustafa berkata, ia harus dilaksanakan bagi memperkasakan aspirasi pendidikan silang budaya dan pembelajaran yang merentasi kurikulum.

Beliau berkata, bahasa dan tulisan Cina tidak mencinakan pelajar Melayu dan begitu juga sebaliknya.

“Cadangan kaligrafi tulisan jawi wajar diteruskan dan ia merupakan sebahagian daripada subjek teras kurikulum kebangsaan yang bertujuan memperkasakan aspirasi pendidikan silang budaya serta pembelajaran yang merentasi kurikulum.

“Di samping itu, jika dilihat, bahasa dan tulisan Cina tidak akan mencinakan pelajar Melayu dan begitu juga sebaliknya,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) membangkitkan kembali isu tulisan jawi apabila mahu supaya lembaga sekolah dibenarkan buat keputusan dalam isu pembelajaran tulisan jawi di sekolah rendah vernakular.

Presiden Dong Zong, Tan Tai Kim berkata, mereka tidak berpuas hati apabila lembaga sekolah tidak tersenarai sebagai pembuat keputusan dalam pengajaran jawi di sekolah vernakular tahun depan.

Mohd Zai berpendapat bahawa, selain jawi, seni tulisan khat juga perlu dipelajari oleh bangsa lain.

Katanya, tulisan jawi ini juga adalah sebahagian nilai sejarah Tanah Melayu serta Malaysia dan tidak akan dikaitkan dengan memelayukan pelajar Cina.

“Kaligrafi jawi lebih kepada memperkenalkan seni khat tulisan jawi kepada pelajar yang berbilang bangsa.

“Ia juga merupakan sebahagian nilai sejarah Tanah Melayu dan Malaysia, jauh sekali ada kaitan bagi memelayukan pelajar Cina,” katanya.