Narum antara bahasa etnik minoriti Sarawak terancam, DBP tubuh pasukan khas selidik

KUCHING: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menubuhkan pasukan petugas khas bagi menjalankan penyelidikan terhadap bahasa sukuan etnik minoriti Sarawak yang diancam kepupusan.

Ketua Pengarah, Dr Hazami Jahari, berkata pasukan petugas khas itu akan bekerjasama dengan Fakulti Bahasa, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) untuk merakam dan mendokumentasikan bahasa sukuan terbabit.

Menurutnya, penyelidikan itu akan bermula tahun depan dengan memberi tumpuan kepada beberapa bahasa sukuan etnik minoriti seperti Jati Miriek, Narum dan Penan.

“Usaha DBP ini adalah bagi memastikan bahasa dan budaya etnik minoriti dapat dikekalkan dalam bentuk penerbitan kerana jika tidak diterbitkan atau didokumentasikan, ia mungkin akan hilang begitu sahaja disebabkan percampuran atau imigrasi pelbagai suku kaum.

“Bahasa Narum misalnya kini dituturkan oleh hanya kira-kira 500 penutur jati, sebab itu ia perlu diteliti dan diterbitkan bagi mengelak imigrasi pelbagai suku kaum itu menghakis nilai jari diri bahasa dan budaya sesuatu etnik itu,” katanya selepas Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas Kembali Ke Sekolah di Dewan Toh Puan Masniah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abang Haji Openg, hari ini.

Hazami berkata, selain mempertahankan penggunaannya kalangan etnik itu sendiri, penyelidikan bahasa sukuan juga perlu kerana ia turut memberi sumbangan yang besar dalam bahasa kebangsaan.

“Ini kerana beberapa perkataan yang sesuai akan dimasukkan dimasukkan sebagai bahasa kebangsaan seperti ‘randau’, ruai’ dan ‘jerayawara’.

“Ini sangat penting dalam usaha kita mengekalkan bahasa sukuan supaya ia akan dapat terus menjadi penyumbang kepada kekayaan bahasa kebangsaan,” katanya.

Sebelum ini DBP sudah menerbitkan banyak kamus bahasa sukuan antaranya Kamus Bahasa Iban, Bahasa Melanau Mukah, Bahasa Vaie, Bahasa Bidayuh, Bahasa Kedayan dan Bahasa Melayu Sarawak.

“Usaha DBP ini adalah kesinambungan usaha yang kita jalankan bagi mendokumentasikan bahasa sukuan sejak tahun 1977,” katanya.

 

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/10/1171395/narum-antara-bahasa-etnik-minoriti-sarawak-terancam-dbp-tubuh