KUALA LUMPUR: Pakar bahasa hairan dengan sesetengah pihak khususnya rakyat negara ini yang yang masih bersikap pesimistik terhadap penggunaan bahasa Melayu dalam semua surat rasmi urusan kerajaan.
Malah, ada pihak mendakwa penggunaan bahasa Melayu dalam surat-menyurat berkaitan kerajaan boleh menggugat indeks perniagaan negara.
Pensyarah Program Pengajian Bahasa Melayu Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Karim Harun, berkata negara gergasi ekonomi seperti China menggunakan bahasa ibundanya dalam urusan perniagaan.
Tegasnya, perkara itu tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi China, malah terus berkembang dan kekal menembusi seluruh pelosok dunia.
“Penggunaan bahasa Melayu dalam urusan surat-menyurat untuk perniagaan tidak akan menjejaskan apa-apa, terutama yang membabitkan agensi kerajaan dan syarikat tempatan.
“Penggunaan bahasa Melayu lebih memudahkan kerana ini ditutur dan difahami semua rakyat Malaysia, seiring peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
“Malah, bahasa Melayu juga menjadi bahasa pengantar di sekolah dan institusi pengajian tinggi.
“Saya tidak rasa indeks perniagaan negara akan jatuh dengan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan perniagaan seperti mana China menggunakan bahasa Mandarin dalam urusan perniagaannya,” katanya kepada BH, hari ini.
Wakil Khas Persatuan Linguistik Malaysia, Kamal Shukri Abdullah Sani, berpandangan tidak sepatutnya timbul alasan daripada mana-mana pihak khususnya syarikat tempatan dalam mengguna pakai bahasa Melayu untuk surat menyurat membabitkan urusan kerajaan.
Tambahnya, isu penggunaan bahasa Melayu memberi kesan terhadap indeks menjalankan perniagaan di negara ini.
Memetik maklumat diperoleh daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), beliau berkata, faktor yang boleh menjejaskan perniagaan mempunyai kaitan dengan tawaran insentif, cukai dan tenaga kerja.
“Ada bekas pengarah MITI sendiri mengakui pelabur memandang kadar cukai yang menarik, kemudahan dan tenaga kerja, bukannya soal bahasa.
“Bahasa tidak menjadi masalah. Ekonomi negara jiran seperti Indonesia dan Thailand berkembang maju meskipun menggunakan bahasa ibunda dalam urusan perniagaan.
“Kita tidak mahu ada pihak sengaja mencari helah untuk tidak menggunakan bahasa sendiri bagi urusan perniagaan. Jika ditelusuri sejarah, Melaka (pada zaman dahulu) dengan pihak Inggeris dan barat banyak menggunakan bahasa Melayu,” katanya.
Terdahulu, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA), William Ng, dipetik sebagai mendakwa penggunaan bahasa Melayu dalam urusan surat-menyurat dengan agensi kerajaan dilihat mampu memberi kesan dari segi kedudukan negara ini dalam indeks menjalankan perniagaan.
Reaksi itu menyusul selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan jabatan kerajaan, universiti dan syarikat tempatan menggunakan bahasa Melayu dalam surat urusan rasmi kerajaan, bagi memartabatkan bahasa kebangsaan.