“SAYA menyarankan menteri berkenaan membaca buku yang ditulis oleh Kementerian Perpaduan Negara iaitu Buku Dasar Perpaduan Negara 2021,” kata Senator Prof Datuk Seri Awang Sariyan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Aro Dagang yang sekolah vernakular bukanlah faktor yang menjurus ke arah perpecahan.
Awang yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka berkata, beliau telah meneliti buku tersebut dan mendapati peri pentingnya bahasa Melayu sebagai medium perpaduan.
“Bahasa perpaduan tidak boleh hanya dalam konteks slogan dan pelaksanaan termasuk menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
“Dalam konteks inilah kita cakap tentang perpaduan, itu disebut dalam Buku Dasar Perpaduan Negara 2021 yang dibuat kementerian berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berkenaan kes keabsahan Sekolah Vernakular Mengikut Perlembagaan di Kuala Lumpur hari ini.
Baca juga:
Mengulas lanjut, Awang berkata, usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu tidak akan menjadi realiti sekiranya bahasa lain digunakan untuk mengajar mata pelajaran di semua sekolah termasuk sekolah jenis kebangsaan.
Hal itu menurut beliau kerana menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara merupakan satu jambatan untuk memartabatkan bahasa Melayu.
“Setakat ini Bahasa Melayu digunakan sebagai mata pelajaran, bukan bahasa ilmu, sedangkan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan, di mana-mana institusi termasuk sekolah jenis kebangsaan sekalipun, harus dijadikan bahasa Melayau sebagai bahasa pengantar,” katanya.
Tambah beliau, perpaduan dalam kalangan generasi muda juga tidak dapat dicapai memandangkan sistem persekolahan yang berlainan masih kekal diguna pakai sehingga hari ini.
“Kita harus lihat implikasi terhadap masyarakat. Apabila anak-anak kita dipisahkan oleh sistem persekolahan berlainan, ada unsur perpisahan, perpaduan tidak dapat berlangsung,” katanya.
Sekolah vernakular: Menteri perlu baca Buku Dasar Perpaduan Negara 2021