Oleh Azrul Hakimie Anuer
BANGI, 17 Rabiulakhir 1441H, Sabtu – Tindakan pihak minoriti menolak pembelajaran tulisan jawi di sekolah rendah tidak lebih hanya mahu memberitahu masyarakat bahawa mereka memiliki kuasa dan suara untuk menolak apa jua saranan kerajaan yang tidak memihaknya.
Presiden Keilmuan Nasional, Zambri Mat Isa mendakwa, perbuatan berkenaan juga merupakan cara halus bagi melenyapkan tulisan jawi dari pengetahuan anak-anak Malaysia sama ada dari kaum Cina, India termasuk juga Melayu.
Beliau menegaskan, perkara itu tidak sewajarnya berlaku kerana tulisan jawi merupakan sebahagian daripada budaya Melayu dan negara ini yang wajar dikenali sejarah serta dipelajari keunikannya.
“Kalau pelajar bukan Islam belajar pun ia lebih kepada pembelajaran dan penulisan , bukan soal agama tiada kena-mengena pun dengan soal itu. Tulisan jawi adalah sebahagian daripada Malaysia.
“Mereka harus belajar bahasa jawi sebab pengisytiharan kemerdekaan negara ditulis dalam tulisan jawi. Sebenarnya mereka (Dong Zong) nak tunjuk ada kuasa untuk menolak,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Terdahulu, Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan kumpulan pendidikan Cina lain membangkitkan kembali isu tulisan jawi apabila memaklumkan mahu menghantar memo kepada Kementerian Pendidikan untuk menuntut supaya lembaga sekolah dibenarkan membuat keputusan dalam isu pembelajarannya di sekolah rendah vernakular.
Presiden Dong Zong, Tan Tai Kim berkata, mereka tidak berpuas hati apabila lembaga sekolah tidak tersenarai sebagai pembuat keputusan dalam pengajaran jawi di sekolah vernakular tahun depan, walaupun sudah lima pertemuan diadakan dengan kementerian.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengumumkan bahawa jemaah menteri memutuskan pengenalan tulisan khat ini akan dimuatkan sebanyak tiga muka surat sahaja dalam buku teks.
Katanya, jemaah menteri juga menetapkan supaya pengenalan tulisan khat dilaksana secara pilihan dengan guru diberikan kuasa untuk membuat keputusan mengenai kaedah pelaksanaannya di bilik darjah masing-masing.
Zambri berkata, isu penulisan jawi ini tidak sepatutnya dibangkitkan seolah-olah sudah menjadi satu perkara perkauman yang menyelubungi orang Melayu serta kaum-kaum lain.
Beliau menegaskan, jika mahu djadikan sebagai isu perkauman banyak lagi isu berkaitan bahasa atau tulisan kaum lain boleh dibangkitkan, namun orang Melayu menerima perkara berkenaan seadaanya dan tidak cuba membangkitkan sensasi.
“Kalau mereka menolak tulisan jawi, kita juga boleh mendesak supaya tulisan Cina diturunkan di mana-mana papan tanda. Kita boleh cari kesalahan tentang mereka, itu tiada masalah.
“Sepatutnya kerajaan perlu tegas dalam melaksanakan pembelajaran ini kerana perkara ini soal pembelajaran sejarah dan latar belakang negara. Kerajaan sewajarnya tidak mempedulikan mereka ini,” katatanya.