Kabinet PH, MCA hantar peguam pertahan sekolah vernakular

BANGI, 23 Rabiulakhir 1441H, Jumaat – Pejabat Peguam Negara (AGC) akan mewakili Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung isu sekolah vernakular, selepas peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz memfailkan semula permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata, perkara berkenaan telah mendapat persetujuan Kabinet, dan Pakatan Harapan (PH) akan tetap memastikan sekolah vernakular tetap berfungsi.

“Kabinet mengambil keputusan bahawa pihak guaman daripada Pejabat Peguam Negara akan mewakili kerajaan ekoran tindakan saman terhadap SJK (T) dan SJK (C) di Mahkamah Tinggi,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Mengulas lanjut, Kulasegaran menegaskan bahawa sekolah vernakular sudah lama berfungsi di Malaysia.

“Namun, baru-baru ini ada pihak ingin mencabarnya. Hasrat mereka tidak akan tercapai pada bila-bila masa pun.

“Kerajaan PH akan terus memastikan sekolah vernakular tetap berfungsi di negara ini,” katanya.

Pada masa sama, parti perkauman MCA juga telah melantik seorang peguam untuk campur tangan dalam kes berkenaan, bagi mempertahankan kewujudan sekolah vernakular.

Presidennya, Wee Ka Siong berkata, MCA mengutuk tindakan mana-mana pihak yang mahu mencabar kedudukan Sekolah Cina dan Tamil, sebagai hak untuk mempelajari bahasa yang dilindungi Perlembagaan.

Terdahulu, Khairul Azam Abdul Aziz memfailkan semula permohonan untuk mencabar sistem sekolah vernakular di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, selepas didakwa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Khairul Azam memfailkan permohonan itu melalui firma guaman Tetuan Azam Aziz Shaharudinali & Co di Pejabat Pendaftar di ibu negara kerana tidak setuju dengan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).

Beliau memfailkan saman itu dengan menamakan dirinya sebagai plaintif tunggal manakala Menteri Pendidikan Malaysia dan Kerajaan Malaysia pula dinamakan sebagai defendan.

Pihaknya mengambil contoh kes Universiti Merdeka pada 1981 apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan penggunaan bahasa Cina sebagai medium pengajaran melanggar Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa sama, beliau juga memohon pengisytiharan, Seksyen 28 dan 17 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), yang membenarkan penggunaan bahasa lain sebagai bahasa utama di sekolah vernakular bertentangan dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

November lalu, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya menolak permohonan Khairul Azam untuk mencabar keabsahan sekolah vernakular yang didakwa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed dalam penghakimannya memutuskan Parlimen mempunyai bidang kuasa untuk menggubal undang-undang mengenai pendidikan