Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) mahu Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) jangan membantah berkaitan pengenalan pembelajaran jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) yang mencerminkan satu tindakan tidak sopan dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Presidennya, Jasni Md Kechik berkata, sudah banyak bantahan daripada Dong Zong sebelum ini, pada tahun 1950 mereka membantah Penyata Razak, turut membantah Akta Pendidikan 1961 dan Laporan Abdul Rahman Talib dan membantah Laporan Pendidikan Kabinet 1979.
“Selain itu, Dong Zong turut membantah program membaca, menulis dan mengira, perhimpunan sekolah dalam bahasa kebangsaan serta program sekolah Intergrasi pada tahun 1980-an, serta turut menuntut pengiktirafan ijazah daripada negara Taiwan dan China.
“Apa yang Dong Zong mahu, sewajarya pihaknya (Dong Zong) mematuhi sistem pendidikan kebangsaan dan perlu taat setia kepada raja dan negara serta menjunjung perlembagaan negara ini,” katanya.
Katanya, Dong Zong turut mendesak Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) turut diterima oleh kerajaan sedangkan sijil itu tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan yang perlu dipatuhi dan tidak adil kepada anak Cina yang belajar di sekolah menengah kebangsaan (SMK).
“Terdapat dalam Dokumen Standard Kurikulum Sekolah Rendah , menyatakan mengenali tulisan jawi pada objek persekitaran yang terdapat dalam kehidupan harian,ia hanya bahagian kecil yang dikecuhkan oleh Dong Zong.
“Bahagian 4.4, mengenal dan menghayati tulisan jawi sebagai seni warisan bangsa, 4.4.1 mengenal tulisan jawi yang terdapat dalam sesuatu objek kehidupan harian serta 4.4.2 mempamerkan tulisan jawi melalui perkataan yang terdapat dalam sesuatu objek kehidupan harian seperti terdapat pada duit kertas, setem, jata dan lain-lain.
Jasni menambah, aspek seni bahasa dilaksanakan untuk menyokong kemahiran bahasa dan tidak tidak ditaksir serta pelaksanaan tulisan jawi di SJK dilaksanakan secara pilihan dengan persetujuan daripada Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa dan murid.
“Diharapkan Dong Zong mematuhi arahan yang telah ditetapkan dan jangan menjadi badan yang mencetuskan kekeliruan dan kekacauan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini yang sudah merdeka lebih 60 tahun,”katanya
Sementara itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bimbang tindakan Dong Zong itu akan menyebabkan pihak tertentu bertindak balas dan mahukan semua sekolah Cina ditutup di seluruh negara.
Selain itu persatuan itu (Dong Zong) perlu diharamkan seperti mana pernah pengasas Dong Zong, Lim Lian Geok telah dilucutkan kewarganegaraan Malaysia kerana tindakan beliau membantah keputusan kerajaan berkaitan Laporan Pelajaran Rahman Talib 1960 dan Akta Pelajaran 1961.
