MELAKA, 26 Rabiulakhir 1441H, Isnin – Kain rentang ‘anti-jawi’ di luar pintu pagar beberapa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di negeri ini dicetak dan digantung oleh pihak ketiga, Kata Exco Pendidikan, Modal Insan, Sains dan Inovasi Melaka, Datuk Noor Effandi Ahmad.
Beliau berkata, pihaknya percaya kain rentang itu bukan dilakukan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atau Lembaga Pentadbir Sekolah (LPS) di sekolah berkenaan.
“Ada pihak berniat jahat ‘melabur’ duit dan tenaga dengan mencetak kain rentang sekolah mengenai pengenalan tulisan jawi.
“Mereka cetak (dalam jumlah) banyak dan gantung di luar pagar sekolah pada Sabtu, ketika waktu sekolah dan kakitangan pengurusan sedang bercuti. Ini namanya ‘baling batu, sembunyi tangan’.
“Ini bukan kerja PIBG atau LPS, ini kerja pihak ketiga yang sebenarnya tiada kaitan langsung dengan sekolah terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Effendi berkata, beliau sudah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk segera menurunkan kain rentang itu yang dikesan digantung sejak kelmarin.
Pada masa sama, beliau seperti dilapor Harian Metro turut memberi amaran kepada pihak tertentu supaya menghentikan agenda buruk yang cuba melemahkan kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad khususnya di Melaka.
“Jangan politikkan ilmu, tiga muka surat yang hanya akan diajar tidak lebih satu jam dalam tempoh setahun bagi murid Tahun Empat sahaja,” katanya.
Terdahulu, tular gambar kain rentang yang digantung di beberapa buah sekolah di Melaka membantah tulisan jawi dengan menyatakan ‘Sekolah Ini Tidak Setuju Pengenalan Tulisan Jawi Dalam Kurikulum Bahasa Melayu’.