Tunku Azizah dituduh berpolitik

BANGI, 29 Rabiulakhir 1441H, Khamis – Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dituduh cuba bermain `politik’ selepas memuat naik ciapan berkenaan jawi di laman Twiiternya, semalam.

Dalam ciapan itu, Tunku Azizah menegaskan bahawa seseorang tidak akan rugi untuk mempelajari bahasa atau tulisan lain seperti jawi.

“Andakanda saya Muhammad (Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah) mengambil Mandarin untuk O-Levels dan perlu menghafal 500 karektor dan dia mendapat A.

“Saya sering meminta bantuan dia untuk mengajar saya dan saya dapati ia sangat sukar.

“Malah, Permaisuri Johor major dalam Mandarin ketika di Oxford. Tak rugi belajar Jawi atau bahasa dan tulisan lain,” kata baginda.

Bagaimanapun, seorang pengguna Twitter dengan menggunakan nama pengesanpenipu menuduh, Raja Permaisuri Agong cuba bermain politik dalam isu jawi.

“Apabila keluarga diraja melibatkan diri dalam politik, bersedialah untuk mendapat reaksi balas. Adalah lebih baik biarkan politik ditangan ahli politik. Dengan cara itu keluarga diraja akan terus dihormati.

“Rakyat boleh melihat anda membuat percubaan besar untuk menyampaikan pendapat,” tuduh pengguna Twitter tersebut.

Bagaimanapun, Tunku Azizah menafikan tuduhan berkenaan dengan berkata: “Saya tak pernah bincang politik dalam Twitter,”.

Sebelum itu, Tunku Azizah dalam ciapannya berkata, tiada apa yang rasis apabila berbincang mengenai jawi.

Isu tulisan jawi kini hangat diperkatakan selepas Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) membantah pengenalan tulisan jawi di sekolah jenis kebangsaan.

Pertubuhan itu dikatakan akan mengadakan persidangan berkaitan tulisan jawi pada 28 Disember nanti walaupun dinasihatkan untuk dibatalkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Khamis lalu, Dong Jiao Zong menggesa pertubuhan Cina lain mendaftar untuk menghadiri kongres membantah tulisan jawi itu bagi menyuarakan bantahan terhadap pengenalan pelajaran jawi di sekolah vernakular.

Kongres itu dijadual berlangsung di Kolej New Era, Kajang dengan matlamat kononnya untuk menjaga kedaulatan pihak lembaga sekolah vernakular.