Mufti Perlis lobi, pestisyen hapus sekolah vernakular dapat sambutan

KUALA LUMPUR, 31 Dis — Satu petisyen menggesa kerajaan menghapuskan sekolah vernakular bakal mencecah 150,000 tandatangan selepas mufli Perlis mengajak orang ramai menyokongnya.

Disiar di laman Change.org, petisyen yang diusahakan Ashraf Lokman sejak lima bulan lalu dan ia mengambil masa yang panjang untuk mencapai 100,000 sokongan.

 

Dalam hantaran di Facebook beliau semalam, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin menulis “jom sign” yang mendorong tandatangan sokongan bertambah.

Petisyen itu mendakwa sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) adalah “barah kepada perpaduan Malaysia”. 

“Marilah berpadu mendesak kerajaan Malaysia menghapuskan SJKC dan SJKT dengan perlaksanaan wajib aliran pendidikan nasional untuk pelajar berumur tujuh hingga 12 tahun seluruh Malaysia.

“Ia demi melahirkan keutuhan perpaduan antara kaum melalui pendidikan aliran nasional. Sila nyatakan sokongan anda demi masa depan Malaysia,” menurut petisyen itu. 

Ketika laporan ini ditulis, sokongan terhadap petisyen mencapai 160,000 tandatangan.