Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 17 Jamadilawal 1441H, Isnin – Pendirian tidak jelas kerajaan terhadap isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) membuka ruang luas kepada pihak cauvinis untuk mengiktiraf sistem pendidikan asing dalam sektor pekerjaan.
Mengulas mengenai iklan jawatan kosong sebuah pasar raya yang meletakkan syarat kelayakan UEC, Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat berkata, 99 Speedmart dan banyak lagi syarikat swasta milik kaum Cina sudah lama menjadikan sijil berkenaan antara kelayakan yang diterima dalam tawaran kerja.
Beliau berkata, pendirian tidak jelas dari kerajaan juga memberi ruang kepada syarikat berkenaan mengiktiraf sijil itu dalam sektor pendidikan, sebagai satu bentuk tekanan politik dan juga proses normalisasi.
“Penerimaan UEC oleh syarikat-syarikat kaum Cina ini menjadikan tanda tanya berkenaan sejauh mana kesetiaan mereka kepada negara, terutamanya berkenaan dasar sistem pendidikan negara.
“Justeru, kerajaan perlu segera memuktamadkan keputusan untuk tidak mengiktiraf UEC supaya keharmonian dan perpaduan rakyat terus dipelihara.
“Dasar pendidikan luar sekiranya diiktiraf oleh pihak kerajaan bakal melebarkan lagi jurang perkauman dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Terdahulu, Sekretariat Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Izzat Johari mempersoalkan tindakan pasar raya milik kaum Cina, 99 Speedmart meletakkan syarat minimum memiliki UEC bagi mengisi kekosongan jawatan sebagai pengurus cawangan.
Dalam sekeping gambar yang dimuat naik Izzat memaparkan, 99 Speedmart mengiklankan tiga jawatan kosong iaitu sebagai pengurus cawangan, juruwang dan pembantu cawangan.
Untuk pengurus cawangan, pasar raya itu meletakkan syarat minimum memiliki sijil UEC, diploma atau ijazah bagi menyandang kekosongan itu.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tahun lalu belum membuat keputusan sama ada untuk mengiktiraf UEC atau tidak.
Bekas menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, perkara itu masih lagi dalam peringkat libat urus serta proses mendapatkan pendapat dari pelbagai pihak.