KUALA LUMPUR, 13 Jan — Selepas dikritik hebat kerana menganjurkan bengkel kaligrafi Cina, wakil rakyat Lembah Pantai membuat program berkenaan seni khat Jawi pula.
Fahmi Fadzil berkata acara tersebut mendapat sambutan ramai di kawasan parlimennya.
“Alhamdullilah tadi dalam bengkel kaligrafi seni khat dan Jawi di Perpustakaan Lembah Pantai. Ramai yang hadir beri sokongan,” tulisnya di Twitter.
“Program seperti ini dapat pupuk pemahaman yang Jawi itu khazanah bahasa kebangsaan kita, wujudkan peluang dialog, sambil eratkan perpaduan dalam masyarakat.”
Menerusi hantaran yang dikongsi lebih 400 pengguna itu, Fahmi memuat naik empat keping gambar, menunjukkan majlis tersebut dihadiri rakyat pelbagai kaum daripada pelbagai usia.
Rata-rata pengikutnya memuji inisiatif pengarah komunikasi PKR, termasuk ada yang berharap usaha itu menjadi tular seperti ketika beliau merasmikan bengkel kaligrafi Cina.
Fahmi baru-baru ini menjadi mangsa kritikan warga maya ekoran hadir di bengkel penulisan seni kaligrafi Tahun Baru Cina di Bangsar ketika isu pengenalan Jawi ditentang oleh sesetengah pihak.
Beliau dilapor berkata kaligrafi Cina mampu “memupuk semangat perpaduan”.
Kerajaan meneruskan pengenalan tulisan Jawi dalam subjek Bahasa Melayu bagi murid tahun empat di sekolah vernakular bermula tahun ini walau ada desakan agar pembelajarannya dimansuhkan.