ABIM mahu peruntukan besar martabat Bahasa Melayu

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa kerajaan meningkatkan usaha bagi memartabatkan Bahasa Melayu dengan penyaluran peruntukan lebih besar bagi merangsang program penyelidikan serta pembangunan, melalui pembentangan Bajet 2024.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata peruntukan lebih besar itu boleh digunakan bagi pelaksanaan program penterjemahan yang lebih agresif membabitkan istilah semasa serta penerbitan bahan ilmiah, khususnya dalam bidang sains dan teknologi.

Katanya, melalui suatu peruntukan besar, pelbagai program wacana serta pemahaman karya agung dalam Bahasa Melayu, untuk membentuk jati diri dalam kalangan generasi muda berdasarkan kepada warisan budaya negara ini, juga dapat dilaksanakan.

“Hasil daripada program penyelidikan dan pembangunan ini juga boleh dikembangkan kepada usaha jangka panjang untuk menerbitkan kamus Bahasa Melayu antarabangsa meliputi Malaysia, Indonesia, Brunei dan rantau nusantara,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan Bajet 2024 di Parlimen, Jumaat ini.

Pada masa sama, Muhammad Faisal, berkata Bajet 2024 untuk memperkasa Bahasa Melayu juga perlu meliputi usaha ‘membumikan’ Bahasa Kebangsaan itu sehingga ke akar umbi khususnya dalam kalangan generasi muda.

Beliau berkata, ia antaranya membiayai program serta inisiatif untuk memperkasa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah termasuk membiayai penerbitan serta penyebaran majalah, novel serta buku ilmiah yang diterbitkan dalam Bahasa Melayu.

“Perlu untuk agensi berkaitan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diperkasakan peranannya sehingga ia dapat mempengaruhi pelaksanaan dasar yang menyentuh kedudukan serta Bahasa Melayu sesuai dengan peruntukan yang ditetapkan dalam Perkara 152.

“Usaha memartabatkan Bahasa Melayu perlu juga diperkasakan menerusi jalur industri kreatif, membabitkan syarikat korporat serta pempengaruh dalam aktiviti kebahasaan, untuk membolehkan penghasilan bahan kandungan dalam Bahasa Melayu dapat ditingkatkan.

“ABIM juga menegaskan bahawa penguatkuasaan penggunaan Bahasa Melayu baku dalam penghasilan bahan kandungan, penyiaran dan pengiklanan perlu dilaksanakan selain pelbagai inisiatif serta galakan yang lain,” katanya.

 

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/10/1163613/abim-mahu-peruntukan-besar-martabat-bahasa-melayu