KUALA LUMPUR: Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu di Malaysia memang berliku-liku sungguhpun kedudukannya sudah dimaktubkan oleh Perlembagaan.
Bagi Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka Prof Datuk Dr Awang Sariyan sepanjang perjalanan hidup sebagai ahli linguistik, pensyarah dan pentadbir, pelbagai cabaran suka duka dilalui termasuk dihadapkan bermacam-macam fitnah.
“Ada yang kata, hah.. dia tu duduk di DBP, tetapi dia juga merosakkan DBP dengan bawa masuk macam-macam perkataan Inggeris.
“Untuk mereka yang tidak faham, begitulah yang difikirkan. Tapi bila kita bawa masuk perkataan asing, kita ubah dari segi marfologi dan ejaannya.
“Kata mereka, sudah ada perkataan ‘akal’ kenapa guna ‘minda’ yang diambil dari perkataan ‘mind’. Ada ‘tetuang udara’ kenapa guna radio, begitu juga ‘pembesar suara’ kenapa nak guna mikrofon?
“Ia sebenarnya hanya pilihan untuk memperkayakan bahasa Melayu. Kalau hendak guna tetuang udara atau pembesar suara, silakan. Ia tidak salah,” katanya.
Awang berkata, tiada bahasa yang kekal tanpa bawa masuk perkataan bahasa asing kerana kemasukan bahasa asing juga sebahagian kaedah untuk memperkayakan bahasa itu.
Katanya, bahasa Melayu di Malaysia sebenarnya berhadapan dengan cabaran sejak dahulu lagi. Ketika zaman penjajahan martabatnya direndahkan sebagai bahasa vernakular oleh British.
Hari ini meskipun kedudukannya sudah terjamin di sisi Perlembagaan, penghayatan dan kemantapannya masih perlu diperkukuhkan. Hal itu menjadikan Awang secara peribadi sangat kritis terhadap isu-isu berkaitan bahasa Melayu juga kenegaraan.
Bagaimanapun, Awang mengakui sikapnya itu tidak begitu disenangi pihak-pihak tertentu di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan juga Kementerian Pendidikan (KPM)
“Ketika mengajar di UPSI sekitar 1999 saya pernah dimaklumkan oleh dekan, pegawai tinggi di KPM memberi amaran supaya memantau tindak tanduk saya kerana didakwa ‘mengapi-apikan’ pelajar menentang kerajaan dan bersikap mengkritik kerajaan.
“Sedangkan apa yang saya kongsi dengan pelajar hanyalah mengenai kedudukan bahasa Melayu berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan,” katanya.
Tegas Awang, hal sebegitu memang biasa dilaluinya malah terdapat sejumlah penjawat awam peringkat atasan kementerian yang tidak menghayati perjuangan dasar negara misalnya Dasar Bahasa Kebangsaan
Golongan itu umumnya mereka yang mencari kedudukan atau perhatian pemimpin politik untuk cepat naik pangkat.
“Malah hal ini pun terjadi di DBP. Pernah juga dalam mesyuarat saya berhadapan dengan pegawai kanan yang menyatakan perjuangan bahasa berdasarkan Perkara 152 sudah tidak lagi relevan pada masa kini.
“Mereka pun tidak terasa apa-apa waktu polisi Pengajaran dan Pembelajaran dalam bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan kerana merasakan ia tidak akan menggugat kedudukan bahasa Melayu,” katanya.
Katanya, dalam tempoh setengah abad terbabit dengan kegiatan dan perjuangan bahasa, persuratan, pendidikan dan kebudayaan banyak pengalaman suka duka yang sudah ditempuhi.
Tambahnya, selain kedudukan bahasa Melayu yang belum memuaskan dalam bidang pentadbiran, undang-undang apatah lagi undang-undang ia turut berhadapan dengan sikap hipokrit pemimpin sendiri.
Katanya, ketika kedudukan bahasa Melayu sudah agak mantap sebagai bahasa pendidikan, tiba-tiba ia diragut dengan pelaksanaan PPSMI pada 2003.
“Ketika itu saya dan rakan-rakan lain bangkit menentang PPSMI. Tapi tindakan kami itu rupanya dilihat sebagai ‘menentang’ kerajaan. Sayang sekali mereka tidak mahu melihat tindakan kami sebenarnya adalah perjuangan membela dasar negara,” katanya.
Tegas Awang, susulan tindakan itu beliau dipulaukan oleh sejumlah pegawai atasan kementerian dan beberapa pihak lain. Malah beliau turut dicop sebagai ‘pelampau Melayu’ walaupun secara jelas apa yang diperjuangkan adalah kedaulatan dan martabat bahasa Melayu di buminya sendiri.
“Pernah sekali sekitar 2007, dalam satu majlis ketika saya menerima watikah Penyandang Kerusi Pengajian Melayu Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia di Beijing.
“Majlis itu turut dihadiri Menteri KPT dan pegawai-pegawainya. Saya sudah ingatkan pegawai bertugas dalam majlis itu berucaplah dalam bahasa Melayu sesuai dengan majlis itu yang merai Kerusi Pengajian Melayu.
“Tapi pegawai KPT itu tidak peduli terus saja berucap dalam bahasa Inggeris malah doa pun dibaca dalam bahasa Inggeris. Kecewa benar saya tidak terkata.
“Tapi kemudiannya, Duta Besar Republik China berucap dalam bahasa Melayu. Dia adalah lulusan bahasa Melayu dari Universiti Pengajian Asing Beijing.
“Waktu itu saya melihat betapa gelisah dan kelam kabutnya pegawai KPT termasuk Ketua Pengarah pengajian Tinggi. Secara tiba-tiba boleh pula mereka berucap dalam bahasa Melayu.
“Entahlah saya terfikir adakah orang Malaysia ini perlu diberi tunjuk ajar oleh pihak asing dalam memartabatkan bahasa sendiri?,” katanya.