OLEH: KAMAL SHUKRI A.S
PADA April 2024, dunia menyaksikan satu peristiwa bersejarah apabila bahasa Indonesia diiktiraf sebagai bahasa rasmi dalam perhimpunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Bahasa Indonesia kini tersenarai bersama-sama bahasa gergasi dunia seperti Arab, Mandarin, Inggeris, Perancis, Sepanyol, Rusia dan Sepanyol. Ini satu pencapaian yang amat membanggakan bagi jiran serumpun kita, Indonesia.
Namun di sebalik berita gembira ini, muncul satu perasaan yang sukar dielakkan dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya orang Melayu, penutur jati bahasa Melayu.
Kenapa bahasa Indonesia, mengapa bukan bahasa Melayu? Bukankah bahasa Indonesia itu sendiri lahir daripada akar bahasa Melayu yang telah mekar sejak sebelum zaman kegemilangan kerajaan Melayu Melaka lagi? Kita tidak marah, kita juga ‘tumpang’ berbangga. Tetapi kita kecewa.
Umpama bahagia tetapi derita. Gembira tetapi menangis di hati. Kita tidak pun iri hati tetapi kita terasa hati. Hakikat yang lebih pahit untuk diterima ialah kita dan khususnya pemimpin besar negara kita sendiri yang meninggalkan bahasa kita? Bahasa Melayu warisan tamadun yang terpinggir?
Terbaru, semasa perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa semua negara maju mengangkat bahasa sendiri justeru bahasa Melayu juga wajib terus diperkasa dan dimartabat.
Maaf, penulis terpaksa untuk tidak bersangka baik. Berapa kerat menteri lain, ketua jabatan (selain DBP), pemimpin korporat dan syarikat rangkaian kerajaan (SRK/GLC) yang akan menyambut seruan tersebut dengan segera dan ikhlas? Ini berdasarkan apa yang telah dan sedang berlaku selama hayat merdeka 70 tahun ini.
Maka penulis juga ingin menyeru agar janganlah pemimpin lain berlaku seperti masuk telinga kanan, keluar telinga kiri akan pesanan tersebut. Jika begitu letihlah Perdana Menteri, terkial-kial seorang, sedangkan yang disuruh seolah-olah badak yang pekak.
Agaknya yang degil mungkin perlu Perdana Menteri suruh ketuk ketampi? Tetapi paling cantik jika Perdana Menteri sendiri berucap dalam bahasa Melayu selepas ini di mana-mana majlis peringkat antarabangsa. Teks dalam bahasa Inggeris disediakan bagi mereka yang tidak faham bahasa Melayu termasuk bagi warganegara Malaysia.
Barulah menteri dan pemimpin organisasi lain di Malaysia tersipu dan malu-malu kucing kut? Begitulah contoh kepemimpinan melalui teladan direalisasikan.
Bahasa Melayu bukanlah bahasa picisan. Bukan bahasa pasar atau bahasa pidgin. Bahasa Melayu adalah bahasa empayar, pernah menjadi lingua franca seluruh kepulauan Melayu di nusantara ini meliputi Tanah Melayu, Sumatera, Jawa, Kalimantan, Sulawesi dan lain-lain.
Bahasa Melayu bahasa pedagang, pelaut, pentadbir, ulama dan sasterawan. Daripada manuskrip jawi di Terengganu hingga catatan Portugis di Melaka, daripada Hikayat Hang Tuah hingga Sulalatus Salatin, bahasa Melayu memahat jejaknya dalam sejarah dunia Nusantara.
Sarjana Eropah, Francis Valentjin mengakui bahasa Melayu setaraf dengan bahasa Latin dan Perancis di sana. Malaysia lahir pada 1963. Indonesia juga lahir dengan Sumpah Pemuda 1928. Apakah bahasa yang digunakan dalam novel Terusir (1940) karya Hamka misalnya dan karya penulis Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) yang boleh saling difahami pembaca Indonesia dan Malaysia jika bukan kerana bahasa Melayulah yang menjadi medium penulisan. Bukan ditulis dalam dua bahasa yang berlainan.
Namun hari ini kedudukan bahasa Melayu masih kabur walaupun penjajah British sudah 70 tahun meninggalkan negara ini. Di Malaysia, bahasa Melayu, ditinggalkan secara perlahan-lahan oleh banyak sistem termasuk pendidikan, oleh masyarakat dan paling menyedihkan oleh kebanyakan pemimpin besar kita sendiri.
Ironinya, ketika bahasa Melayu sedang bergelut mencari tempat di tanah air sendiri, bahasa Indonesia yang dibina atas asas bahasa Melayu, bangkit sebagai bahasa global, sambil sekali gus menebus maruah bahasa Melayu di Malaysia.
Mengapakah bahasa Indonesia (atau sebenarnya bahasa Melayu versi Indonesia) berjaya atau lebih berjaya? Jawapannya tidak terletak kepada keaslian bahasa tetapi kepada niat dan tindakan kolektif mereka yang tekal dan bersungguh-sungguh.
Sejak awal kemerdekaan Indonesia telah mengangkat bahasa Indonesia sebagai bahasa perpaduan nasional dengan sumpah keramat, Sumpah Pemuda 1928. Kami punya satu negara, negara Indonesia, satu bangsa, bangsa Indonesia, satu bahasa, bahasa Indonesia.
Bahasa Indonesia menjadi alat penyatuan kepelbagaian etnik, daerah dan budaya. Mereka memajukan bahasa melalui semua bidang pendidikan, sastera, media, filem, teknologi dan diplomasi antarabangsa.
Malah, mereka menjadikan bahasa sebagai aset strategik, satu produk budaya yang dihantar ke luar negara melalui drama, lagu, novel dan kandungan digital.
Realitinya, kedutaan mereka begitu aktif ‘menjual’, mempromosi dan memperaga bahasa Melayu versi Indonesia di luar negara termasuk universiti asing berbanding kedutaan kita dalam hal ini. Lebih penting lagi mereka tidak pernah malu menggunakan bahasa sendiri baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa.
Apa yang berlaku di Malaysia? Pemimpin kita umumnya lebih memilih jalan sendiri yang berbeza, lebih ghairah mengangkat bahasa asing sebagai simbol kemajuan. Tiada langsung rasa megah bahasa terhadap bahasa sendiri.
Bahasa Melayu hanya sekadar dijadikan perhiasan rasmi bukan sebagai dasar strategik. Di sekolah, universiti dan syarikat korporat bahasa Melayu sengaja dan sering dikalahkan oleh bahasa Inggeris bukan atas keperluan tetapi kerana persepsi.
Persepsi mereka, bahasa Melayu tidak cukup maju, tidak cukup intelektual, tidak cukup global dan macam-macam tidak cukup lagi. Maka lahirlah generasi baharu yang semakin canggung membaca dalam bahasa Melayu, malu menulis dalam bahasa ibunda dan amat berbangga untuk bertutur dalam bahasa Inggeris.
Kita lupa kekuatan sesuatu bahasa bukan pada siapa yang menciptanya tetapi siapakah yang bersungguh-sungguh membina kekuatannya? Bahasa kita kehilangan peluang bersejarahnya.
Pengiktirafan UNESCO terhadap bahasa Indonesia sepatutnya menjadi milik bersama-sama Indonesia-Malaysia. Namun realitinya, ini menjadi isyarat jelas bahawa Malaysia tidak memanfaatkan bahasa Melayunya.
Kita melepaskan peluang untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai suara diplomasi, sains dan budaya peringkat antarabangsa. Tujuh puluh tahun masih mabuk dengan bahasa penjajah, seolah-olah negara akan muflis dan mundur ke zaman air batu, zaman dinosaur, tanpa bahasa Inggeris.
Mengapa tragedi ini berlaku? Kita tiada rancangan besar untuk memperkasa bahasa kita. Kita tiada strategi jangka panjang, tiada pelaburan budaya yang konsisten. Kita tiada pemimpin bersuara lantang yang mempertahankannya di peringkat global.
Kita terlalu selesa. Terlalu berkira-kira. Terlalu ragu-ragu terhadap kekuatan bahasa sendiri. Minda kita masih tertawan dengan bahasa dan budaya penjajah. Bahasa adalah maruah negara. Bahasa adalah kedaulatan. Bahasa adalah identiti, citra, imej cerminan jati diri negara ini.
Jika bangsa lain sanggup mengangkat bahasa negara ke pentas dunia, mengapakah kita masih teragak-agak, malu dan takut untuk berbuat yang sama? Bahasa bukanlah sekadar alat komunikasi. Bahasa adalah tapak tamadun, akal budi dan daya fikir bangsa.
Masa sudah terlewat. Tetapi lebih baik terlewat daripada tidak langsung berusaha. Kita wajib berhenti memberi pelbagai alasan dan perlu terus bertindak ke hadapan.
Jadikan bahasa Melayu sebagai projek utama nasional bukan sebagai subjek wajib lulus peperiksaan sahaja. Gunakan bahasa Melayu dalam ekonomi, perdagangan, inovasi, undang-undang dan hatta dalam diplomasi antarabangsa.
Tiada salahnya jika kita belajar daripada Indonesia. Pengiktirafan terhadap bahasa Indonesia bukanlah kekalahan terhadap bahasa Melayu tetapi satu pukulan untuk kesedaran.
Ini adalah amaran bahawa tanpa usaha yang kolektif, jujur dan bersungguh-sungguh, bahasa yang pernah menjadi agung akan hilang dari senarai sejarah, hanya dikenang, bukan dimartabatkan.
Jika kita mahu bahasa Melayu dihormati dunia, kita, warganegara Malaysia wajib menghormati bahasa Melayu terlebih dahulu.
Penulis tidak berniat memperlekeh bahasa Indonesia, tetapi sekadar mengingatkan bangsa Melayu dan semua yang mengaku rakyat Malaysia membuka mata untuk memacu bahasa Melayu sebelum terlambat.
Penulis adalah Pengerusi Biro Insan Rabbani dan Komuniti Madani, Majlis Perundingan Melayu (MPM)