KUALA LUMPUR: Perjuangan 20 tahun badan dan tokoh pejuang bahasa supaya preskripsi Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa Melayu menjadi teks rasmi selaras Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan, semakin membuahkan hasil positif.
Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Seri Dr Awang Sariyan, berkata pengumuman Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun mengenai cadangan itu adalah perkembangan amat baik dan ditunggu sekian lama.
“Badan dan tokoh pejuang bahasa memperjuangkan mengenai perkara ini selama hampir 20 tahun.
“DBP melalui wakil rasmi Jabatan Peguam Negara dalam Lembaga Pengelola DBP mengemukakan cadangan sama.
“Tidak hanya itu, badan bukan kerajaan seperti Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) serta yang lain sering menimbulkan isu supaya ia diambil tindakan,” katanya kepada BH, hari ini.
Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) mencadangkan kepada kerajaan supaya preskripsi Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa Melayu menjadi teks rasmi selaras Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan.
Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, dipetik berkata pihaknya juga bercadang untuk mencetak semula Perlembagaan Persekutuan bagi memasukkan pindaan perlembagaan bersejarah yang terkini mengikut Perkara 160A Perlembagaan Persekutuan.
Ini kerana, Perlembagaan Persekutuan bertindak sebagai asas dalam melaksanakan pengasingan kuasa.
Awang berkata, usaha AGC diharapkan dapat disegerakan untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Sha.
“Keputusan itu penting untuk meningkatkan martabat bahasa Melayu yang sah sebagai bahasa negara, berbanding dengan teks sahih dalam bahasa Inggeris.
“Negara sudah merdeka lebih 65 tahun, sangat wajar bahasa negara dijadikan teks yang sahih supaya kita berfikir, menafsirkan dan melaksanakan peruntukan Perlembagaan berdasarkan falsafah, nilai dan pandangan melalui bahasa yang rapat dengan jati diri kita,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti Majlis Perundingan Melayu (MPM), Kamal Shukri Abdullah Sani, berkata usaha itu disifatkan wajar dan amat tepat dilaksanakan.
“Bagaimanapun kita amat harapkan, beberapa perkara berkaitan versi bahasa Melayu dimuktamadkan dan jika ada apa-apa mengenai istilah tertentu belum selesai, ia harus disepakati dan diperbaiki.
“Bekas Peguam Negara terdahulu, pernah menyuarakan perkara ini,” katanya.
Kamal Shukri yang juga Ketua Biro Hubungan Luar Persatuan Linguistik Malaysia, berkata perbicaraan membabitkan rakyat Malaysia seharusnya dalam bahasa Melayu dan tiada pengecualian atas apapun sebab.
“Bahasa Inggeris digunakan meluas di Mahkamah Tinggi, Rayuan dan Persekutuan dan sepatutnya, kes membabitkan rakyat Malaysia, selagi ada pengecualian, ia akan diambil mudah oleh pegawai pendakwa raya, mahkamah,” katanya.
Dalam pada itu, pihak berwajib tidak boleh meletak Doktrin Struktur Asas sebagai halangan untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Doktrin struktur asas diambil dari India dan beberapa hakim tertinggi seperti Almarhum Sultan Azlan Shah, Tun Mohd Sufian dan Tun Abdul Hamid, menolak selama berdekad-dekad penggunaan Doktrin Asas Perlembagaan.
“Namun sekitar 2017 dan 2018, Mahkamah Persekutuan membelakangkan keputusan itu dan mengguna pakai Doktrin Struktur Asas itu,” katanya.